Polis Perak tahan lelaki, rampas lebih 13kg heroin

Pihak polis menemui dadah jenis heroin seberat 13.18kg di dalam kenderaan yang digunakan suspek.
Pihak polis menemui dadah jenis heroin seberat 13.18kg di dalam kenderaan yang digunakan suspek.
A
A
A

IPOH - Polis Perak menemui dadah jenis heroin seberat 13.18 kilogram (kg) dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu susulan tindakan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Unit Peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di lokasi kejadian pada jam 9.25 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan sejumlah dadah dipercayai jenis heroin seberat 13.18kg yang dianggarkan bernilai RM111,000.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti pengedaran dadah oleh suspek ini dipercayai mula aktif sejak awal bulan Januari 2024 sehingga kini. Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak.

"Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 15,000 orang penagih dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Yusri berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek yang merupakan penganggur turut direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Januari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, melibatkan sitaan wang tunai berjumlah RM206.

Sementara itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa khususnya pihak PDRM.

"Justeru, PDRM Perak menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan perak bebas daripada jenayah ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!