Polis tahan lelaki tempatan, rampas 2.1kg syabu

Suspek berusia 30 tahun dipercayai pengedar dadah, berjaya ditahan selepas polis mengejar kereta suspek beberapa kilometer. - Gambar hiasan
Suspek berusia 30 tahun dipercayai pengedar dadah, berjaya ditahan selepas polis mengejar kereta suspek beberapa kilometer. - Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Cubaan seorang lelaki tempatan meloloskan diri daripada sekatan jalan raya semasa membawa dadah jenis syabu seberat 2.1 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM120,000 telah digagalkan oleh pihak berkuasa di Jalan Timur, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 30 tahun, yang dipercayai pengedar dadah, berjaya ditahan selepas polis mengejar kereta suspek beberapa kilometer.

Katanya, suspek berada dalam keadaan mencurigakan dan memecut kereta selepas melakukan pusingan U daripada sekatan jalan raya sebelum tindakan pantas anggota polis di sekatan itu mengejar kereta suspek.

"Suspek berjaya ditahan selepas dikejar beberapa kilometer dan polis menemukan satu bungkusan plastik bersama suspek dan di dalamnya mengandungi empat plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

"Pemeriksaan polis di dalam kereta suspek turut menemukan sebuah kotak berisi dua bungkusan plastik hijau (mengandungi) bahan hablur jernih mampat disyaki dadah jenis sama (syabu)," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Jasmin berkata, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2016 dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: