Tarif air Selangor naik bermula 1 Februari

Amirudin Shari - Foto fail Bernama
Amirudin Shari - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Caj minimum tarif baharu air bagi kategori domestik di Selangor akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50 bermula 1 Februari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan itu membabitkan penggunaan meter padu air setiap isi rumah.

Menurut beliau, kadar caj penggunaan air daripada 0 sehingga 20 meter padu akan beralih sebanyak 8 sen iaitu kepada 65 sen.

"Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu dan ke bawah setiap bulan, caj baharu akan meningkat maksimum sekitar RM1.60 sebulan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Amirudin memberitahu, bagi penggunaan air 20 hingga 35 meter padu pula, kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih sebanyak 29 sen kepada RM1.32 bagi setiap meter padu.

"Maksudnya, peningkatan keseluruhan bagi rumah yang menggunakan air sehingga 35 meter padu adalah maksimum sebanyak RM5.95 sebulan," jelas beliau.

Beliau menjelaskan, penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah sebanyak RM2.63 berbanding kadar lama iaitu RM2.00.

"Bagi kategori kondominium pula, caj minimum secara pukal akan kekal pada RM173 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 30 sen kepada RM1.68 bagi penggunaan setiap meter padu air.

Artikel Berkaitan:

"Sementara bagi estet dan kuarters kerajaan, kadar caj baharu akan meningkat sebanyak 68 sen kepada RM1.68 dan caj minimum baharu adalah RM16.80 berbanding sebelum ini iaitu RM12.00 sebulan," jelas beliau.

Katanya, kadar baharu bagi kategori rumah kos rendah adalah 98 sen bagi setiap meter padu air yang merupakan caj paling rendah.

"Rumah kos rendah mengalami peningkatan paling kecil bagi semua kategori kediaman iaitu sebanyak 18 sen bagi setiap meter padu," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi kategori bukan domestik dan kategori khas pula membabitkan perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain memperlihatkan peralihan kadar baharu kepada RM2.70 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.

"Penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM2.94 bagi setiap meter padu," jelasnya.

Tambah beliau, penggunaan air dalam kategori rumah ibadah dan institusi kebajikan diberikan kelonggaran caj dengan kadar rata dan paling rendah iaitu peningkatan 6 sen bagi setiap meter padu kepada 66 sen.

"Kerajaan negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di negeri Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.

"Selain itu, bagi kategori kapal, kadar baharu akan beralih dari RM7 kepada RM7.08," kata Amirudin.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan ini akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor untuk mengelakkan isu paip bocor dan paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150 kepada 300 kilometer setahun bermula tahun ini.

Menurut beliau, tambahan kepada itu, pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuhkan bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030 termasuk melipat gandakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset seperti paip baharu bagi kawasan mengalami tekanan air rendah.

"Selain itu, tahap kualiti air yang disalurkan kepada rakyat dapat terus dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air," jelas beliau.

Ujar Amirudin, kerajaan negeri juga melalui Air Selangor juga akan memantapkan kualiti perkhidmatan yang lebih responsif dan efisien kepada rakyat termasuk penaiktarafan aplikasi Air Selangor.

Amirudin menjelaskan, secara keseluruhan, tanggungan kos kepada kerajaan negeri bagi pemberian air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan penyerapan peningkatan tarif air bagi rumah ibadah dan rumah kebajikan adalah sebanyak anggaran RM40 juta setahun.

"Jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi bantuan air percuma adalah mencukupi bagi manfaat dan kemaslahatan rakyat.

"Di kesempatan ini, kerajaan negeri juga membuka peluang kepada rakyat negeri yang berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon untuk air percuma

SADE untuk melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/ bagi maklumat lanjut serta proses pemberian air percuma.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!