Pertanian makanan di Malaysia harus diperbaiki

Rakyat Malaysia terutamanya belia dilihat masih kurang berminat menceburkan diri dalam sektor pertanian. -Foto Bernama
Rakyat Malaysia terutamanya belia dilihat masih kurang berminat menceburkan diri dalam sektor pertanian. -Foto Bernama
A
A
A

TERDAPAT pandangan bahawa pertanian makanan tidak lagi relevan untuk Malaysia mengejar status negara maju. Namun begitu, kebanyakan pihak menganggap kelapa sawit, getah serta pertanian kontan lain amat penting sebagai sumber pendapatan eksport dan matawang asing.

Akibatnya, pertanian makanan di Malaysia terutamanya pengeluaran padi masih ketinggalan berikutan pertumbuhan produktiviti yang lembab dan hanya hidup kerana mendapat subsidi lumayan daripada kerajaan dan pembeli beras.

Petani dan nelayan masih hidup susah sedangkan jurang antara negeri, daerah, bandar dan luar bandar masih menggusarkan. Perhatian terhadap soal makanan dan jaminan makanan tidak mencukupi.

Kerajaan mesti membawa nafas baru kepada sektor pertanian.

Di Malaysia, dua kementerian bertanggungjawab terhadap pertanian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Industri Utama (MPI).

Akibatnya, wujud jurang antara tanaman kontan dan tanaman makanan serta antara estet dan pekebun kecil. Lebih tiga per empat tanah pertanian di Malaysia ditanam kelapa sawit yang membawa risiko monoculture iaitu kebergantungan melampau terhadap satu jenis tanaman sama ada dari segi harga ataupun penyakit.

Diskriminasi pentadbiran itu juga mengekang usaha meningkatkan pendapatan petani menerusi pertanian campuran. Sebagai contoh, petani perlu berurusan dengan agensi yang berbeza di bawah kementerian berbeza untuk membela ternakan di ladang tanaman kontan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (yang bertanggungjawab terhadap Felda, Felcra dan RISDA) juga mempunyai agenda dan keutamaan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Selain kerenah birokrasi, hal itu juga menyebabkan isu pertindihan, malah percanggahan antara dasar-dasar kementerian berbeza sebagai contoh Dasar Agromakanan, Negara 2011-2020 MOA dan Dasar Komoditi Negara, 2011-2020 MPI.

Dengan cabaran masa kini yang kian merunsing termasuk pembangunan lestari, jaminan makanan, pemakanan, pemanasan alam, pembangunan luar bandar dan hak ‘orang asal,’ dasar pertanian yang lebih menyeluruh, bersepadu dan konsisten amat perlu.

Kemajuan pertanian juga memerlukan ketelusan dan akauntabiliti urus tadbir. Skandal melibatkan Felda, NAFAS dan NFC antaranya bukan hanya membazir berbilion ringgit dana awam, bahkan menghakis keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, politik dan dasar awam.Kemajuan sektor pertanian memerlukan penggunaan teknologi sesuai termasuk yang menjimatkan tenaga buruh.

Meskipun penglibatan buruh dalam pertanian Malaysia semakin menurun saban tahun, sektor itu mempunyai tenaga buruh asing sah yang paling tinggi, sebanyak 27 peratus pada tahun 2017. Ia tidak termasuk pula lebih ramai yang tidak sah.

Menteri Sumber Manusia dahulu pernah mengumumkan anggaran seramai 6.7 juta buruh asing sedangkan bilangan diakui Penyiasatan Tenaga Buruh seramai 2.2 juta. Maka, kira-kira 4.5 juta buruh asing atau dua kali ganda adalah tenaga buruh yang tidak sah.Buruh asing rela bekerja dalam pekerjaan yang dianggap susah, berbahaya dan kotor dengan gaji murah. Penggunaan buruh asing terutamanya yang tidak sah bukan sahaja terus menekan tahap gaji dan keadaan pekerjaan pertanian bahkan tidak menggalakkan pelaburan teknologi.

Gambar kiri: Ashraf, gambar kanan: Jomo
Gambar kiri: Ashraf, gambar kanan: Jomo

Dalam hal ini, rakyat Malaysia terutamanya belia kurang minat menceburkan diri dalam sektor ini.

Walau bagaimanapun, dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengurangkan cukai lanjutan untuk pekerja asing sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh pertanian. Langkah itu barangkali membantutkan lagi pertumbuhan produktiviti jangka panjang.

Subsidi

Sistem subsidi dan pelaksanaannya mesti diteliti semula supaya tidak menghalang kemajuan pertanian.

Subsidi harus menjadikan petani semakin produktif, mampu meraih pendapatan lebih lumayan dan kurang bergantung kepada subsidi.

Malangnya, subsidi sering dijadikan candu politik bagi mendapatkan sokongan undi kaum tani.

Meskipun lebih kurang separuh daripada peruntukan belanjawan kepada Kementerian Pertanian sejumlah RM1.8 bilion pada tahun 2019 disalurkan sebagai subsidi padi, sektor itu masih tidak maju.

Cara subsidi diberi tidak menggalakkan petani mempelbagaikan tanaman makanan mereka untuk meningkatkan pendapatan. Bahkan, sesetengah petani yang menanam tanaman selain padi mengaku diri sebagai penanam padi supaya layak diberikan subsidi.

Laporan Ketua Audit Negara lalu mendedahkan, subsidi berjumlah RM57.92 juta telah diberi pada tahun 2016-2018 kepada ribuan penama yang telahpun meninggal dunia lebih sedekad lalu. Menurutnya, benih bermutu rendah diberi kepada petani dan baja diagih lewat.

Dasar jaminan makanan perlu dilihat secara lebih luas dengan menekankan pemakanan baik lagi sihat berasaskan kepelbagaian makanan dan bukan hanya sara diri (self-sufficiency) beras. Walaupun kebuluran bukan lagi masalah besar di Malaysia, namun salah pemakanan mengancam kesejahteraan rakyat.

Kekurangan zat makanan seperti kalsium, masih menjadi punca penyakit seperti anemia.

Kadar pertumbuhan bantut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun meningkat daripada 17.2 peratus pada tahun 2006 kepada 20.7 peratus pada tahun 2016.

Penyakit tidak berjangkit akibat makanan seperti penyakit kardiovaskular dan kencing manis adalah punca utama kematian di Malaysia.

Malaysia mencatatkan kadar kencing manis tertinggi di Asia. Penyakit seperti itu sepatutnya boleh dielakkan dengan dasar makanan yang sesuai.