Bekas Menteri Pengangkutan Singapura berdepan 27 pertuduhan

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran (kanan) didakwa di mahkamah pada Khamis atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan mendapatkan suapan sebagai penjawat awam. Foto AFP
Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran (kanan) didakwa di mahkamah pada Khamis atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan mendapatkan suapan sebagai penjawat awam. Foto AFP
A
A
A
SINGAPURA - Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran didakwa di mahkamah pada Khamis (18 Januari) dengan pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan mendapatkan suapan sebagai penjawat awam, menurut sebuah portal berita tempatan.

Laporan itu menyatakan bahawa beliau mengaku tidak bersalah terhadap 27 pertuduhan secara keseluruhan - dua pertuduhan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, satu pertuduhan menghalang proses keadilan dan 24 pertuduhan mendapatkan suapan sebagai penjawat awam di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu, menurut laporan berkenaan.

Pertuduhan rasuah pertama mendakwa bahawa Iswaran, dalam kapasitinya sebagai menteri kerajaan, secara rasuah mendapatkan suapan berjumlah S$145,434 daripada taikun hartanah Ong Beng Seng.

Ini adalah sebagai balasan untuk memajukan kepentingan perniagaan Ong yang berkaitan dengan kontrak antara Grand Prix Singapura (GP) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Ong memiliki hak untuk GP Singapura dan menjadi pengerusi promoter perlumbaan GP Singapura, menurut laporan itu.

Portal berita berkenaan melaporkan bahawa Iswaran dituduh mendapatkan suapan 10 tiket "Green Room", lapan tiket yang diberi nama "Twenty3" dan 32 tiket masuk umum ke Grand Prix Formula 1 Singapura 2022 pada Sept 2022.

Suapan itu masing-masing bernilai kira-kira S$48,150, S$56,068 dan S$41,216.

Pertuduhan rasuah kedua menyatakan bahawa Iswaran secara rasuah mendapatkan suapan daripada Ong pada Dis 2022 sebagai pertukaran untuk memajukan kepentingan perniagaannya berhubung kontrak dengan sebuah badan awam mengenai perjanjian kemudahan GP Singapura-STB, serta cadangan untuk kontrak dengan STB untuk menganjurkan konsert maya ABBA Voyage di Singapura.
Artikel Berkaitan:


Iswaran turut berdepan satu pertuduhan menghalang proses keadilan dengan membuat pembayaran balik S$5,700 kepada GP Singapura kira-kira 25 Mei 2023.

Jumlah itu merupakan kos tiket penerbangan kelas perniagaannya dari Doha ke Singapura yang diambil pada 11 Dis 2023, yang ditanggung oleh Ong melalui GP Singapura, menurut laporan itu, merujuk kepada kertas tuduhan.

Baki 24 pertuduhan adalah untuk mendapatkan suapan sebagai penjawat awam, sebagai seorang menteri Singapura.

Laporan itu menyatakan bahawa pertuduhan berkenaan melibatkan tempoh antara Nov 2015 dan Dis 2021.

Menurut laporan itu beliau ditahan pada 11 Julai tahun lepas.

Iswaran berdepan 24 pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan - memperoleh sesuatu yang bernilai sebagai penjawat awam.

Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 165 boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya untuk setiap pertuduhan

Beliau juga didakwa dengan dua pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 6(a) dan 7 Akta Pencegahan Rasuah.

Individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 6(a) boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali. Di bawah Seksyen 7, individu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan cuba menghalang proses keadilan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya. - Bernama