Tindakan pantas elak Sungai Linggi tercemar

Aminuddin (dua kanan) ketika mendengar penjelasan mengenai pencemaran yang dikesan ketika meninjau Loji Rawatan Air Sungai Linggi pada Khamis.
Aminuddin (dua kanan) ketika mendengar penjelasan mengenai pencemaran yang dikesan ketika meninjau Loji Rawatan Air Sungai Linggi pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan pantas pihak berkuasa mengesan aliran cecair berwarna hitam dipercayai minyak enjin yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Linggi di sini berjaya dihalang daripada terus memasuki Sungai Linggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat jam 8 pagi Khamis, loji tersebut masih beroperasi pada kapasiti 100 peratus.

"Semalam pada jam 1.48 petang, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) telah menerima aduan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) berkaitan pencemaran Sungai Linggi yang dikesan berpunca daripada longkang awam di kawasan Kampung Bemban Hilir, Seremban.

Aminuddin (tiga dari kanan) ketika meninjau Loji Rawatan Air Sungai Linggi pada Khamis.
Aminuddin (tiga dari kanan) ketika meninjau Loji Rawatan Air Sungai Linggi pada Khamis.

"Berdasarkan aduan daripada orang awam ini, JASNS bersama BKSANS, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan segera menggerakkan pasukan untuk membuat pengesanan dan mengenal pasti punca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Loji Rawatan Air Linggi pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, proses persampelan air telah dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan.

"Sekiranya tindakan pantas tersebut tidak dilakukan, berkemungkinan ia akan menjejaskan kira-kira 47,000 akaun pengguna sekitar kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri amat komited dalam membanteras kes-kes berkaitan dengan pencemaran sumber air ini dan tindakan tegas akan diambil kepada pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab hingga memberi implikasi terhadap pembekalan air terawat untuk rakyat Negeri Sembilan khususnya.

Loji Rawatan Air Sungai Linggi beroperasi seperti biasa.
Loji Rawatan Air Sungai Linggi beroperasi seperti biasa.

"Kerajaan negeri juga amat berterima kasih kepada orang awam yang telah membuat aduan dan Kerajaan Negeri sangat menggalakkan orang awam untuk menjadi mata dan telinga kerajaan negeri sekiranya terlihat kejadian seumpama ini berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.

Menurut beliau, orang awam boleh terus menghubungi JAS Negeri Sembilan menerusi talian hotline 1-800-88-2727 atau BKSANS atau talian kecemasan sambungan kepada PDRM untuk tindakan pengawalan dan pencegahan demi kelestarian sumber air di negeri ini.