Kenaikan tarif bantu syarikat air tingkat perkhidmatan

Tarif air meningkat purata 22 sen bagi setiap meter padu bermula Februari ini. Gambar hiasan
Tarif air meningkat purata 22 sen bagi setiap meter padu bermula Februari ini. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Kenaikan tarif air secara purata 22 sen bagi setiap meter padu akan menyebabkan tarif air di Perlis meningkat kepada 70 sen berbanding 40 sen satu meter padu pada ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Perlis (SAP), Dr Ir Mohmad Asari Daud berkata, menerusi pelarasan itu, kadar berubah kepada 70 sen bagi 0-20 meter padu, RM1.10 (21-35 meter padu) dan RM 1.50 bagi melebihi 35 meter padu, sementara caj minimum RM7 untuk kategori pengguna domestik.

Menurutnya, berbanding kadar sebelum ini, 40 sen bagi 0-15 meter padu, 70 sen (16-40 meter padu) dan RM 1.10 (41 meter padu ke atas) serta caj minimum (RM4).

Sehubungan itu, katanya, pengguna diharap memandang positif kenaikan tarif baharu air itu sebagai langkah positif yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri ini.

“Kenaikan tarif harus dilihat secara positif yang memberi kebaikan kepada pengguna, bukannya tindakan yang membebankan.

"Sebagai pengendali perkhidmatan bekalan air di negeri ini, kami mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana ia antara langkah untuk bantu syarikat air meningkatkan prestasi perkhidmatan air,” katanya di sini pada Rabu.

Perlis antara negeri yang tarifnya tidak disemak melebihi 25 tahun dengan semakan terakhir ialah pada 1996.

Menurutnya, perubahan pada tarif air akan membolehkan SAP menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan bekalan air seperti menggantikan paip uzur dan masalah kebocoran air tidak terawat khususnya di kawasan tekanan air rendah seperti di Chuping, Sanglang dan Kuala Perlis.

Artikel Berkaitan:

“Kenaikan itu akan dikembalikan kepada pengguna.

"Ia antara usaha meningkatkan dana syarikat perkhidmatan air (SAP) pada masa sama kami dapat selesaikan masalah bekalan air di negeri ini," katanya lagi.

Mohmad Asari percaya, kenaikan tarif baharu air akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan selenggaraan bekalan air ke tahap lebih baik.

"Kami juga sudah bersedia dengan perubahan ini, antaranya menambah bilangan pasukan penyelenggaraan paip.

"Sebelum ini, hanya ada empat pasukan untuk selenggara paip di seluruh negeri, kini ditambah kepada sembilan pasukan,” katanya.

Sementara di KEDAH, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, kenaikan tarif harus selari dengan perkhidmatan operator air dalam menyalurkan bekalan air.

“Mereka hendaklah tingkatkan kualiti perkhidmatan termasuk menambah keupayaan prasarana agar lebih cekap mengurus bekalan air bersih kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, operator air juga perlu memastikan gangguan bekalan air diminimumkan sebaiknya dan tidak lagi berlaku terputus bekalan.

“Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan seperti tambah Iori tangki, tangki statik, booster pump, selaraskan sistem agihan, tekanan dan sebagainya secara proaktif dan agresif," katanya.

Kadar tarif air di Kedah ialah 50 sen bagi 0-20 meter padu, 90 sen (21-35 meter padu) dan RM1.30 bagi melebihi 35 meter padu.

Sementara caj minimum RM6 untuk kategori pengguna domestik.

Kali terakhir semakan tarif dibuat ialah pada tahun 2010.

Pada Rabu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.