Tahun baru, mentaliti lama

A
A
A

SEDIH dan kecewa, namun tidak mengejutkan! Itu reaksi ramai apabila membaca kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkenaan kakitangannya yang terpaksa mengutip sejumlah sembilan tan sampah yang dibuang merata-rata oleh pengunjung di tiga lokasi utama di ibu kota sempena sambutan Ambang Tahun Baru pada Rabu lalu.

Menurutnya, Alam Flora mengambil masa lapan jam untuk mengutip dan membersihkan lokasi terbabit yang dipenuhi sampah di sekitar kawasan KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka. Untuk tujuan tersebut, Alam Flora menggunakan 100 orang pekerja dan beberapa buah jentera bagi membersihkan semua sampah yang ditinggalkan warga kota yang tidak prihatin.

Ia masih berterusan berlaku tatkala kita sudahpun melangkah ke tahun 2020. Kalau tahun 2020 yang menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah dianggap gagal, maka kegagalan terbesar dalam sasaran itu sudah tentulah pembentukan sikap dan akhlak warga kita. Ini kerana, ketamadunan sesebuah negara bangsa bukanlah dilihat daripada kemajuan teknologi dan kepesatan pembangunannya semata-mata, tetapi sikap dan akhlak warganya turut diambil kira.

Sebab itu ciri-ciri tamadun banyak ditakrifkan menerusi konsep ilmu pengetahuan yang membawa kepada perubahan terhadap tatasusila, adab dan kebudayaan masyarakat. Sepertimana yang ditakrifkan oleh Al Farabi yang melihat ketamadunan dalam konteks Madaniyah yang menekankan elemen akidah, syariat dan akhlak sebagai asas kepada ketamadunan sesebuah negara.

Syed Naquib al-Attas juga mencirikan ketamadunan sebagai satu keadaan di mana kehidupan masyarakat telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.

Justeru, daripada dua konsep itu jelas memperlihatkan kepada kita bagaimana sebenarnya kemajuan sesebuah negara bangsa hanya akan berlaku sekiranya sikap, akhlak dan ketatasusilaan warganya berjaya dibentuk dan dipupuk.

Sebab itu negara seperti Jepun dikatakan maju. Sebelum mereka membentuk kemajuan dalam pembangunan teknologi dan fizikal, mereka membangunkan modal insannya terlebih dahulu. Lihatlah apa yang mereka ajarkan kepada anak-anak di sekolah. Mereka memulakannya dengan pembentukan peribadi sebagai seorang manusia dan anggota masyarakat. Asas pembelajaran hanya mendidik mereka dengan nilai murni melalui usaha menanam perasaan empati yang tinggi sebagai seorang individu yang bertanggungjawab dan warga yang prihatin. Lihatlah bagaimana hebat dan terpujinya sikap mereka ketika menghadiri sukan-sukan besar bertaraf antarabangsa apabila sanggup mengutip sampah dan membersihkan stadium seusai perlawanan tamat walaupun bukan mereka yang mengotorkannya.

Kalau hendak dibandingkan dengan kita, memang jauh panggang dari api. Tak cukup kertas dan pen kalau hendak ditulis tentang perangai buruk masyarakat kita. Justeru, kalau Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mahu melanjutkan blueprint Wawasan 2020 ke dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), di samping membawa bersama semua sasaran asal, kerajaan juga patut memasukkan nilai adab, akhlak dan tatatsusila bersama dalam WKB2030.

Artikel Berkaitan:

Sudah tiba masanya untuk negara melabur dalam pembentukan sikap dan mentaliti warga, di samping terus membina kepesatan pembangunan dan kemakmuran ekonomi. Mungkin sebagai permulaan, ubah sedikit sistem pendidikan kita yang berteraskan peperiksaan dan keputusan yang jelas menjejaskan matlamat pendidikan yang sebenar kerana akhirnya pendidikan sepatutnya menyempurnakan manusia.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)