Taktik sindiket dadah sembunyi kokain berbentuk sabun terbongkar

Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia memeriksa beg yang digunakan untuk menyembunyikan dadah yang dibawa seorang lelaki warga Perancis menerusi tangkapan. Dadah berbentuk sabun yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki warga Perancis di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1 KLIA, Selasa lalu.
Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia memeriksa beg yang digunakan untuk menyembunyikan dadah yang dibawa seorang lelaki warga Perancis menerusi tangkapan. Dadah berbentuk sabun yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki warga Perancis di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1 KLIA, Selasa lalu.
A
A
A

SEPANG - Taktik sembunyikan dadah jenis kokain dalam bentuk sabun bernilai RM1.22 juta dan disorokkan dalam kotak barangan kosmetik terbongkar menerusi penahanan seorang individu warga Perancis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, tangkapan dijalankan kira-kira jam 5.46 petang susulan maklumat hasil risikan.

"Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki berumur 61 tahun di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Suspek didapati telah tiba dengan menaiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil dan transit di Doha, Qatar sebelum tiba di lapangan terbang ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pengimbasan ke atas bagasi yang dibawa suspek mendapati terdapat dagangan yang disyaki dadah dimuatkan di dalamnya.

"Pemeriksaan rapi dijalankan menemui tujuh kotak barangan kosmetik yang mengandungi bongkahan pepejal seperti sabun pelbagai warna di dalam bagasi berkenaan.

"Ujian awal yang dibuat ke atas bongkahan itu mendapati ia merupakan dadah jenis kokain dengan anggaran berat 6.137 kilogram bernilai RM1.22 juta," katanya.

Pun Sian berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menyembunyikan dadah berbentuk sabun pelbagai warna di dalam kotak barangan kosmetik untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Ia dibawa secara 'handcarry' oleh penumpang (ejen sindiket) yang telah berusia dan mengembara secara bersendirian ke dalam negara.

"Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, dianggarkan seramai 30,685 orang penagih dadah dapat diselamatkan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai diminta memberikan kerjasama kepada kastam dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan seperti rokok, minuman keras serta mercun.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat, identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.