Tiga individu ditahan, rampas arak seludup bernilai RM1.5 juta

Zam Halim (tengah) menunjukkan sebahagian arak yang dirampas.
Zam Halim (tengah) menunjukkan sebahagian arak yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan secara berasingan dipercayai menyeludup arak tidak bercukai bernilai RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 44 tahun di sebuah premis di Jalan Sungai Besi dekat sini pada jam 2 petang, Jumaat lalu.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 108 kotak dan 116 karton minuman keras pelbagai jenama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Ahad.

Zam Halim berkata, hasil soal siasat, polis memberkas dua individu termasuk seorang lelaki warga asing berusia 29 dan 31 tahun di sebuah premis lain di Jalan Sungai Besi pada jam 3.30 petang hari sama.

"Kita merampas sembilan kotak dan 1,818 karton arak pelbagai jenama, dua telefon bimbit serta sebuah lori yang disyaki digunakan oleh suspek untuk mengedar arak tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua premis itu dijadikan stor penyimpanan minuman keras.

"Kita percaya premis tersebut telah beroperasi lebih setahun, bekalan arak itu disyaki diseludup melalui pelabuhan dan laluan tikus," katanya.

Beliau berkata, dua suspek warga asing itu ditahan reman 14 hari manakala lelaki warga tempatan direman empat hari bermula Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi hotline Polis Cheras ditalian 03-92845050/5051, hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.