Juruteknik dituduh rogol anak tiri

Tertuduh berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Tertuduh berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Juruteknik lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 12 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak tirinya sejak tahun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun membuat pengakuan tidak bersalah selepas 12 pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

Berdasarkan tiga pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak tirinya berusia 11 tahun di sebuah rumah bernombor di Merlimau, Jasin pada Mei tahun lalu serta Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Sementara itu, tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual menggunakan objek terhadap mangsa yang sama di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377 CA yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan enam lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan seorang lagi iaitu kakaknya berusia 16 tahun.

Bagi kesalahan itu, sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Artikel Berkaitan:

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 2 petang hingga 11 malam di lokasi sama antara Mac 2023 hingga Januari 2024.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan masih menanggung ibunya yang telah berusia.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka setiap bulan.

Tertuduh dan pihak lain juga dilarang sekali menghubungi dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!