Kenyataan Tun M singgung perasaan rakyat Malaysia - Gerakan

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyinggung perasaan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Malaysia adalah sebuah negara unik dengan kepelbagaian kaum dan itu menjadi tunjang keteguhan negara yang bertuah ini.

“Apa yang menyedihkan, bekas Perdana Menteri itu dalam temu bualnya berkata, telah pun ‘compensated well’ masyarakat bukan Melayu ke atas sumbangan mereka.

Bolehkah kita ‘memberi pampasan’ kepada rakyat kita sendiri?" soal Dominic dalam satu kenyataannya pada Isnin.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga seorang negarawan dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, kenyataan itu adalah sangat memalukan dan tidak sepatutnya datang daripada bekas Perdana Menteri yang pada suatu ketika dulu membawa agenda Wawasan 2020.

Menurutnya, ahli politik perlu keluar dari perigi politik cetek, tidak guna untuk mendabik dada sebagai sebuah negara pesat membangun, tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, rakyat Malaysia perlu bersatu, menerima faktanya bahawa negara ini adalah sebuah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan.

"Benih pemahaman dan silaturahim yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti akan mekar sebagai kemakmuran bersama," ujarnya lagi.

Dominic berkata, parti itu sebelum ini juga pernah mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir, dalam mengutarakan kekesalan berhubung kenyataan kontroversi semasa pilihanraya kecil Pulai tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri itu menyatakan parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menasihatkan bekas Perdana Menteri untuk tidak terus menanam perbezaan yang mungkin memecahkan semangat bangsa Malaysia dibina selama ini.

Kenyataan Tun M satu penghinaan - ADUN Kota Kemuning

Sementara itu, Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan tegas menolak segala bentuk retorik perkauman yang merosakkan perpaduan masyarakat.

Preakas Sampunathan
Preakas Sampunathan

Ujarnya, Malaysia terdiri daripada berbilang kaum dan budaya.

Beliau sehubungan itu menyifatkan kenyataan Dr Mahathir adalah satu penghinaan kepada rakyat yang mencintai tanah air malah merencatkan kemajuan negara.

"Sudah sampai masa untuk beliau bersara dan memberi jalan kepada generasi baharu yang ingin memajukan Malaysia sebagai negara yang berpadu.

"Sebagai wakil rakyat yang berpegang kepada prinsip kesatuan dan keadilan, kami menyeru kepada semua pihak untuk menolak dan mengutuk sebarang kenyataan yang boleh membahayakan perpaduan kita," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Preakas berkata, perpaduan menjadi satu elemen penting dalam masyarakat bagi memastikan negara terus aman dan harmoni.

Beliau sehubungan itu mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama memastikan negara terus menjadi tempat yang aman dan harmoni untuk semua rakyat, tanpa mengira bangsa atau agama.