Dua beranak, akauntan mengaku bersalah gagal kemuka penyata SST

(Dari kanan) Hanis Syamimi, Hidayati dan
Massdzita hadir ke mahkamah
(Dari kanan) Hanis Syamimi, Hidayati dan Massdzita hadir ke mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Dua pengarah dan akauntan syarikat pembinaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai jualan dan perkhidmatan (SST-02) dalam masa ditetapkan antara 1 Januari hingga 31 Ogos tahun lalu.

Dua beranak Hidayati Ab Majid, 57, dan Hanis Syamimi Haruddin, 33, yang merupakan wakil syarikat Mega Imperium Sdn Bhd serta akauntan Massdzita Salleh, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mazni Nawi selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama sebagai Orang Kena Cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, untuk mencapai niat bersama, telah didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 bagi tempoh bercukai 1 Januari 2023 hingga 31 Ogos 2023 sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 26(1) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Kesalahan itu dilakukan di antara 3 April 2023 hingga 2 Oktober di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan, Jalan Paroi-Senawang, Seremban.

Berikutan itu mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(6)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang dibaca bersama Seksyen 78(1) (a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan boleh dihukum di bawah Seksyen26(6)(a) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam Datuk Eddin Syazlee Shith yang mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah mereka.

Eddin Syazlee memaklumkan syarikat berkenaan adalah perniagaan keluarga yang mempunyai rekod bersih dalam membayar cukai, namun berdepan masalah kewangan selepas dikatakan ditipu sub-kontraktor yang juga bekas kakitangan syarikat.

Artikel Berkaitan:

Mazni kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap kesemua tertuduh dan tambahan RM2,000 terhadap Hidayati dan Hanis Syamimi sebagai wakil syarikat.