Sarjan narkotik didakwa terima suapan RM2,000

Muhammad Hazwan (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.
Muhammad Hazwan (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang anggota polis narkotik didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Rabu, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazwan Ahad, 36, yang berpangkat sarjan membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa telah memperoleh suapan wang berjumlah RM2,000.

Suapan wang diterima daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap anaknya bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan RI 1 Taman Rambai Idaman di sini, kira-kira jam 3 jam petang pada 9 Mac 2021.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau berbentuk wang RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa telah menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 daripada individu sama tanpa sebarang balasan yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh di tarikh, tempat, masa sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohd Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Selain itu, beliau turut meminta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sepanjang prosiding berlangsung.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM5,000, selain tertuduh memberikan kerjasama setiap kali siasatan dijalankan sejak 2021.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dan tarikh sebutan semula serta serahan dokumen pada 21 Februari depan.