Bijan hitam dari Malaysia dirampas di sempadan Taiwan

Bijan hitam kering dari Malaysia dirampas di sempadan Taiwan selepas didapati mengandungi sisa racun perosak berlebihan. Foto TFDA
Bijan hitam kering dari Malaysia dirampas di sempadan Taiwan selepas didapati mengandungi sisa racun perosak berlebihan. Foto TFDA
A
A
A

TAIPEI - Satu penghantaran biji bijan hitam kering dari Malaysia dirampas di sempadan Taiwan baru-baru ini selepas didapati mengandungi sisa racun perosak berlebihan, Agensi Berita Pusat (CNA) Taiwan memetik Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan negara itu (TFDA) pada Selasa.

Bijan hitam seberat 38,400 kilogram itu dirampas selepas ujian sampel penghantaran yang dihantar untuk pemeriksaan pada 15 Disember lepas mengesan 0.06 bahagian per juta (ppm) fosfin, melebihi had yang dibenarkan iaitu 0.01 ppm.

TFDA berkata, produk itu telah dikembalikan ke negara asal atau dimusnahkan.

Dalam sidang media, Timbalan Ketua Pengarah TFDA, Lin Chin-fu berkata, fosfin ialah gas tidak berwarna yang digunakan sebagai bahan fumigan untuk bijirin yang disimpan.

Beliau berkata, disebabkan pelanggaran itu adalah yang pertama oleh pengimport, kadar pemeriksaan ke atas penghantaran akan datang ditingkatkan daripada kadar semasa iaitu 2-10 peratus kepada antara 20 peratus dan 50 peratus.

Bijan hitam itu bersama dengan 12 penghantaran produk lain antaranya anggur segar dari Korea Selatan dan truffle putih segar dari Itali dirampas kerana mengandungi bahan kimia pertanian berlebihan atau tidak mematuhi peraturan mengenai pemeriksaan makanan yang diimport. - Bernama-CNA

Artikel Berkaitan: