Bekas penguat kuasa PBT menyamar polis minta suapan RM18,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM18,000.

Menurut sumber, ia sebagai balasan bagi menutup satu siasatan kes pengubahan wang haram terhadap seorang lelaki.

Susulan penahanan itu, katanya, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi Selasa dan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Januari.

Kata sumber, perintah reman yang dikenakan terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Arunjothy a/p M Selvaraju.

"Kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai daripada Unit Risikan Bukit Aman dan datang ke pejabat mangsa di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis minggu lalu.

"Suspek telah memberitahu kononnya terdapat satu kes SPRM yang dibuka terhadap mangsa membabitkan kesalahan di bawah akta pengubahan wang haram," katanya pada Selasa.

Menurut sumber, sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan untuk menutup siasatan berkenaan.

Kata sumber lagi, mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada suspek dan memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 pada 15 Januari, sebelum membuat laporan kepada SPRM pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.