Rasuah: Lima anggota penguat kuasa direman enam hari

Lima individu diiringi pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman di lokap Mahkamah Alor Setar pada Selasa.
Lima individu diiringi pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman di lokap Mahkamah Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Lima anggota penguat kuasa direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi melindungi nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Mereka antara 11 individu berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner'.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di lokap Mahkamah Alor Setar di sini, pada Selasa.

Kesemua suspek tiba kira-kira jam 8.15 pagi di pekarangan mahkamah diiringi pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman.

Pada Isnin, SPRM menahan 11 individu termasuk sembilan anggota penguat kuasa kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan dan 'runner' antara tahun 2018 hingga 2021.

Sumber SPRM berkata, anggota penguat kuasa terbabit disyaki menerima rasuah sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau memberitahu, dua orang awam turut ditahan dipercayai memberi rasuah sebanyak kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.

Kesemua 11 suspek ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

Daripada 11 individu itu, seramai enam orang dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.