17 warga asing dicekup bekerja tanpa permit, tinggal lebih masa

Sembilan pekerja asing ditahan pihak imigresen di tapak semaian di Iskandar Puteri pada Isnin kerana bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa.
Sembilan pekerja asing ditahan pihak imigresen di tapak semaian di Iskandar Puteri pada Isnin kerana bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan 17 warga asing kerana melanggar syarat pas kerja, bekerja tanpa permit serta tinggal lebih masa di Muar, Mersing dan Iskandar Puteri dalam beberapa operasi pada Isnin dan Selasa.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, menerusi Ops Sapu, Ops Minyak, Ops Belanja, Ops Mahir, Ops Pelantar dan Ops Hijau yang dijalankan susulan maklumat orang awam terdapat warga asing melakukan kesalahan berkenaan di beberapa 'lokasi panas' di daerah terbabit.

"Menerusi serbuan dari jam 10.30 pagi sehingga 7 petang pada Isnin dan Selasa, sembilan premis di Muar dan dua premis di Endau, Mersing diperiksa sepasukan pegawai dari Unit Penguatkuasa Cawangan Muar dan Penguatkuasa Cawangan Mersing.

"Tindakan diambil susulan maklumat awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warga asing yang melanggar syarat-syarat pas kerja di premis dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 80 warga asing diperiksa dan lapan daripada mereka ditahan termasuk empat lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki Nepal dan seorang lelaki warga Vietnam.

Mereka yang ditahan katanya, berusia antara 22 hingga 38 tahun dan sebanyak lima notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Anggota imigresen Johor melakukan pemeriksaan terhadap warga asing dalam serbuan dilakukan di sembilan premis di Muar dan Mersing pada Isnin dan Selasa.
Anggota imigresen Johor melakukan pemeriksaan terhadap warga asing dalam serbuan dilakukan di sembilan premis di Muar dan Mersing pada Isnin dan Selasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya menahan sembilan individu dalam satu operasi di sebuah tapak semaian di Iskandar Puteri dekat sini pada Isnin selepas dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa di Malaysia.

Menerusi serbuan pada jam 10.40 pagi itu katanya, sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor membuat serbuan selepas menerima aduan awam menyatakan terdapat beberapa warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah.

"Dalam operasi itu, seramai 26 warga asing diperiksa dan sembilan daripada mereka ditahan. Semua yang ditahan adalah enam lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Myanmar," katanya.

Mereka yang ditahan itu ujarnya, berusia antara 28 hingga 48 tahun yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 61)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal di Malaysia lebih masa. Seorang lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor bagi membantu siasatan," katanya.

Pada masa sama, Baharuddin menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.

"Operasi penguatkuasaan akan giat dijalankan di negeri ini bagi membanteras isu kebanjiran Pati yang dilihat semakin galak menguasai sesuatu kawasan," tegasnya.