Langgar MPV polis selepas dikejar hampir 20km

Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan MPV polis berjaya menahan sebuah kereta di Jalan Masai Lama, Johor Bahru pada Ahad
Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan MPV polis berjaya menahan sebuah kereta di Jalan Masai Lama, Johor Bahru pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang lelaki di bawah pengaruh dadah yang melarikan diri dengan memandu kereta hampir 20 kilometer gagal apabila berjaya ditahan polis di Jalan Masai Lama dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, lelaki terbabit pada mulanya diarahkan unit kereta peronda (MPV) untuk memberhentikan kenderaannya di Jalan Besar Skudai menghala ke Tampoi dalam kejadian pada jam 9.30 malam.

"Semasa anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara terbabit sedang melakukan tugas ronda jenayah ternampak sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan di Jalan Besar Skudai menghala ke Tampoi.

"Suspek yang memandu kereta terbabit telah diarahkan memberhentikan kenderaan untuk diperiksa tetapi suspek bertindak memecut laju.

"Dalam cubaan melarikan diri, suspek telah melanggar kereta peronda polis yang berjaya memintas kenderaan suspek di kawasan stesen minyak, Jalan Masai Lama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta Proton Waja dipandu lelaki berusia 37 tahun itu membawa kepada penemuan sebilah parang panjang.

Katanya, suspek yang ditangkap adalah warga tempatan dan semakan rekod jenayah lampau mendapatinya mempunyai beberapa rekod jenayah serta kes dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif jenis dadah methaphetamine. Suspek kini direman hingga Rabu depan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah seksyen 186 kanun keseksaan dan seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958 serta disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Aksi polis mengejar dan menghalang kereta yang dipandu suspek itu berjaya dirakam dan tular di media sosial Tiktok oleh pemilik akaun bernama 'preteep77'.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan kecekapan unit MPV IPD Johor Bahru Utara yang mengepong kenderaan terbabit menyebabkan suspek telah melanggar kenderaan polis ketika membuat pusingan.