Akta Parlimen Berpenggal Tetap bukan langkah terdesak

Cadangan Ahmad Zahid agar Akta Parlimen Berpenggal Tetap digubal bagi mengekalkan kerajaan hingga akhir penggal.
Cadangan Ahmad Zahid agar Akta Parlimen Berpenggal Tetap digubal bagi mengekalkan kerajaan hingga akhir penggal.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan langkah terdesak Kerajaan Perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan akta tersebut adalah penting bagi menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik terus terjamin.

Menurutnya, terdapat beberapa negara turut mengamalkan parlimen berpenggal tetap bagi menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang akan memberi mudarat kepada sistem demokrasi.

“Usaha penggubalan akta ini penting lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak menentu pada hari ini.

“Sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dijalankan dalam masa terdekat dan Parlimen berpenggal juga membantu memastikan segala agenda reformasi serta polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia bagi memastikan peristiwa pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Azalina berkata, kajian terperinci akan dilakukan bagi melihat implikasi penggubalan akta tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, selain menjalankan kajian, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) juga akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai akta tersebut.

“Pada tahun ini, BHEUU akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan rakyat berkenaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

“Hasil dapatan kajian ini akan digunakan bagi mempertimbangkan dasar oleh Kabinet Kerajaan Madani,” katanya.