Tolak elemen negatif bagi jamin kesejahteraan rakyat - Tuanku Muhriz

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti pada Ahad. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Ahad bertitah supaya masyarakat menolak elemen negatif yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian bagi memastikan kestabilan moral dan sosial mengikut nilai agama dapat terus diperkuatkan.

Baginda bertitah, rakyat perlu berusaha untuk mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di Malaysia bagi menjamin kesejahteraan khususnya di Negeri Sembilan.

"Oleh itu, beta menyeru kepada semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran dalam kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka.

"Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini pada Ahad.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Baginda bertitah, kesejahteraan rakyat juga ditentukan oleh pencapaian ekonomi negeri dan pada masa ini, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah kutipan hasil negeri adalah amat membanggakan.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan prestasi itu, Tuanku Muhriz berharap kerajaan negeri meneruskan perancangan Pelan Tindakan Khusus Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 yang merupakan perancangan terkini kerajaan dalam menangani isu ekonomi semasa di negeri ini.

Dalam pada itu, baginda mahu agar rakyat bersedia menghadapi sebarang perubahan sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun iklim dunia dan yakin penduduk di negeri ini cekal serta bersemangat mendepani cabaran mendatang.

Artikel Berkaitan:

"Beta disembah maklum bahawa kerajaan beta telah membuat persediaan dengan mengukuhkan pengurusan kerajaan melalui inovasi dalam pentadbiran dan mengaplikasi teknologi terbaharu selain merencana program tertentu bertujuan membantu rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ini,” titah baginda.

Selain itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan institusi awam untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian dan pengurusan kerajaan dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Dalam titah itu juga, Tuanku Muhriz turut menzahirkan sokongan perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin serta menyeru rakyat bersama-sama memberi sokongan termasuk menyumbang kepada Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada kesemua penerima pingat dan bintang kebesaran dan mengingatkan supaya memelihara kurniaan yang diberikan kerana ia mencerminkan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

"Kurniaan ini adalah sebagai satu tanda penghargaan atas jasa dan bakti kepada beta, kerajaan beta dan Negeri Sembilan. Justeru, para penerima mempunyai amanah dalam menjaga kemuliaan dan pengiktirafan ini dengan memastikan imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Seramai 473 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan baginda yang diadakan pada tiga sesi bermula hari ini dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului senarai penerima. - Bernama