Tingkat penerbangan antarabangsa capai hab serantau umrah

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berpotensi untuk menjadi hab serantau umrah jika jumlah penerbangan antarabangsa dapat ditingkatkan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, penerbangan langsung antarabangsa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu ditingkatkan terutamanya melibatkan bandar-bandar utama dari China dan Australia.

“Jumlah ketibaan penerbangan antarabangsa mesti banyak kerana apabila ramai yang singgah di negara kita, ia membantu Malaysia menjadi pusat atau hab.

“Bagaimanapun, kekerapan penerbangan itu mestilah bukan hanya pada musim umrah sahaja. Kita ambil contoh Dubai, seluruh dunia transit di situ untuk ke Madinah dan Jeddah.

“Sedangkan di negara kita hanya ada penerbangan daripada kumpulan China sahaja. Indonesia dan Filipina sudah mempunyai penerbangan terus ke Arab Saudi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan melaporkan kerajaan sedang giat menjalin kerjasama dengan pemain industri untuk memperkukuh ekosistem mesra Muslim Malaysia sebagai usaha menjadikan negara sebagai hab umrah serantau.

Dalam pada itu, Razali turut mencadangkan kepada agensi pelancongan untuk meningkatkan dan menyerlahkan lagi promosi produk-produk negara serta lokasi menarik.

Jelasnya, restoran makanan halal juga perlu menyediakan kemudahan tempat duduk untuk kumpulan ramai yang memuatkan 500 hingga 1,000 orang dalam satu masa.

Artikel Berkaitan: