Peluang Harimau Malaya buka mata Asia

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Qatar. Foto Facebook FAM
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Qatar. Foto Facebook FAM
A
A
A

PIALA Asia dilihat menjadi pentas terbaik untuk membuka mata Asia dan dunia keupayaan Harimau Malaya yang kini berada pada momentum terbaik mencipta sejarah.

Jurulatih berpengalaman, Manja Man berkata, skuad negara diyakini mampu mencipta kejutan untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan 16 terbaik di bawah kendalian pengendali, Kim Pan-gon.

Menurutnya, apa yang paling penting adalah kemampuan untuk pemain negara melakar keputusan positif seawal perlawanan pembukaan Kumpulan E menentang Jordan pada awal pagi Selasa ini.

"Saya secara peribadi sama seperti penyokong lain mahu melihat Harimau Malaya mampu mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Asia itu.

"Skuad negara ketika ini sangat konsisten dan ada kemampuan untuk mencipta kejutan. Mereka kena bermain dengan baik, kurangkan buat kesilapan dan jangan ikut rentak pihak lawan.

"Dalam masa sama, ini pentas terbaik untuk pasukan negara mengaum dan menunjukkan kepada Asia kemampuan kita," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Selepas menentang Jordan, skuad negara dijadualkan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang juara dua kali, Korea Selatan lima hari selepas itu.

Untuk rekod, skuad negara telah berjaya mara ke pentas Piala Asia pada tahun 1976, 1980 dan 2007, namun perjuangan mereka hanya terhenti di peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Manja yang juga bekas pemain pertahanan era 80 dan 90-an mengakui elemen pertahanan skuad negara perlu ditambah baik selepas kerap kali bocor dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Beliau berkata, menentang pasukan terbaik dunia seperti Jordan, Bahrain dan Korea Selatan menuntut pertahanan berada pada tahap terbaik selain mengelakkan kesilapan mudah.

"Dari segi pertahanan memang agak merisaukan kerana kita bakal berdepan pasukan yang kuat di Asia. Kita tidak boleh lalai dan perlu bertindak dahulu sebelum pemain lawan bertindak. Itu perkara paling penting.

"Saya juga mengharapkan pemain lain seperti Arif Aiman Mohd Hanapi, Mohd Faisal Halim dapat memainkan peranan mereka menjadi individu utama untuk memacu barisan serangan pasukan negara,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!