Pulau Pinang: 90.4 peratus pengguna sudah terima bekalan air

Penduduk flat Taman Emas Batu Maung mendapat air dari tangki air yang disediakan. Foto Bernama
Penduduk flat Taman Emas Batu Maung mendapat air dari tangki air yang disediakan. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 90.4 peratus atau kira-kira 533,000 daripada 590,000 pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual sejak 10 Jan lepas, telah menerima bekalan air setakat 7 malam hari ini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan bekalan air telah dinormalisasi kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan berkenaan.

"Walaupun mengalami kehilangan air yang banyak daripada kebocoran baharu semalam di saluran paip dasar Sungai Perai, PBAPP terus mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau, walaupun pada ‘pendikit optimum’ dan bukannya ‘pendikit penuh’.

"PBAPP sedang berusaha untuk membekalkan air sebanyak mungkin kepada penduduk tanpa menyebabkan kebocoran lebih besar atau isu lebih teruk di Sungai Perai.

"Kami akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa tentang status pemulihan air akibat gangguan bekalan air berjadual tersebut," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas susulan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

PBAPP dalam kenyataan itu memaklumkan tahap ketiga pemulihan bekalan air membabitkn 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau negeri itu sedang berterusan dan dijangka selesai sepenuhnya pada 6 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tahap keempat iaitu melibatkan baki 0.5 peratus daripada pengguna terjejas di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di kawasan selatan bahagian pulau dijangka turut selesai menjelang 6 pagi esok," menurut kenyataan itu.

Media hari ini melaporkan projek pembinaan paip lencong sementara merentasi atas Sungai Perai susulan kebocoran baharu dikesan pada saluran paip di dasar sungai itu semalam, akan dimulakan tengah malam ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan pembinaan struktur sementara supaya paip berukuran 600 milimeter (mm) dapat diletakkan di atas struktur itu yang terletak 10 meter dari Jambatan Ampang Jajar, di Seberang Perai.

Katanya, kerja-kerja itu tidak akan menjejaskan Jambatan Ampang Jajar kerana 'by pass' akan dibina di lokasi tersebut dan apabila siap, paip itu akan menggantikan sementara waktu paip yang sudah bocor di dasar Sungai Perai.

Kerajaan negeri berharap kontraktor dilantik akan mula menggerakkan jentera dan peralatan paip yang diperlukan dan kerja-kerja akan dijalankan 24 jam, dengan ia dijangka disiapkan dalam tempoh 21 hari. - Bernama