Libat kerjasama ADUN pembangkang daftar PADU

Mohd Azlan (berdiri tiga dari kiri) ketika lawatan ke Kaunter Bergerak Daftar PADU di Dewan Orang Ramai Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang, di sini pada Sabtu.
Mohd Azlan (berdiri tiga dari kiri) ketika lawatan ke Kaunter Bergerak Daftar PADU di Dewan Orang Ramai Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang, di sini pada Sabtu.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Perak akan dilibatkan dalam usaha menggiatkan lagi pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, sehubungan itu, satu sesi libat urus besar-besaran akan diadakan pada 19 Januari depan mengenai pendaftaran PADU.

Menurutnya, kesemua 59 ADUN termasuk dalam kalangan pembangkang turut dijemput hadir ke sesi libat urus berkenaan bersama pelbagai agensi kerajaan di Perak.

"Sesi libat urus selepas ini kita akan libatkan ketua-ketua kampung dan tok-tok batin di kawasan Orang Asli namun begitu ini kita perlukan bantuan ADUN untuk buka kaunter selain di kawasan Orang Asli.

"Saya optimis ADUN-ADUN pembangkang ini akan beri kerjasama seperti mana jelajah komunikasi saya sebelum ini ada ADUN pembangkang yang hadir bersama. Kita nak ajak semua orang kerana kepentingan data ini untuk negara, jadi kita nak semua pihak gembleng tenaga untuk selesaikan kemas kini PADU dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Kaunter Bergerak Daftar PADU di Dewan Orang Ramai Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang, di sini pada Sabtu.

Mohd Azlan berkata, pendaftaran PADU di Perak sedang giat dijalankan bagi memastikan semua penduduk di negeri ini mendaftar sebelum penghujung Mac depan.

Menurutnya, beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak telah menggerakkan inisiatif membuka kaunter bergerak kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar.

Jelasnya, pendekatan secara bersemuka dilihat lebih mudah untuk membantu mendaftarkan penduduk di dalam PADU.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin selepas sesi libat urus besar-besaran itu, pendaftaran PADU akan lebih lancar dan mudah bagi rakyat Perak.