Duta Palestin beri jaminan sokongan penuh pembebasan rakyat Thailand

Walid - Foto Bernama
Walid - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Duta Besar Palestin ke Malaysia yang juga bertanggungjawab untuk Thailand, Walid Abu Ali memberi jaminan sokongan penuh dalam memastikan pembebasan rakyat Thailand yang masih ditahan di Gaza.

Kementerian Luar Thailand berkata, perkara itu disampaikan semasa kunjungan hormat Walid ke atas Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga Menteri Luar Parnpree Bahiddha-nukara di Bangkok pada Jumaat.

Dalam pertemuan itu, Parnpree dan Walid membincangkan situasi di Asia Barat.

"Timbalan perdana menteri dan menteri luar mengulangi permintaan Thailand untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Palestin demi memastikan pembebasan rakyat Thailand yang masih ditahan dan Duta Besar Palestin memberi jaminan sokongan penuh mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Lapan lagi warga Thai dipercayai masih berada di Gaza sebagai tebusan sejak konflik Hamas-Israel tercetus Oktober lepas.

Kementerian Luar berkata, lawatan Walid itu bertujuan untuk meningkatkan hubungan dua hala.

"Kedua-dua pihak berpuas hati dengan hubungan Thailand-Palestin yang telah menjangkau lebih 12 tahun serta menyuarakan kesediaan mereka untuk mempromosikan hubungan dua hala dalam bidang berpotensi yang menjadi kepentingan bersama, khususnya mempromosikan produk pelancongan dan perdagangan," katanya.

Parnpree menekankan komitmen Thailand dalam mengukuhkan kerjasama bagi keselamatan dan kelestarian Palestin, menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

"Thailand secara konsisten memberi sumbangan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) sejak 1978 dan baru-baru ini menyalurkan US$80,000 sebagai tindak balas kepada rayuan UNRWA susulan situasi kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Thailand dan Palestin menjalinkan hubungan diplomatik pada 1 Ogos 2012.

Kedutaan Diraja Thai di Amman, Jordan telah ditugaskan mengendalikan hal ehwal diplomatik dengan Palestin, manakala pihak Palestin pula menugaskan kedutaannya di Malaysia untuk mengendalikan hal ehwal diplomatik dengan Thailand.

Thailand mengiktiraf Negara Palestin pada 17 Januari 2012. - Bernama