Anugerah My Hero 4.0: Suntik semangat mualaf untuk terus beramal

Muhammad Farhan Param (kiri) bersama hadiah kemenangan sebaik dinobat My Hero 4.0 pada Khamis.
Muhammad Farhan Param (kiri) bersama hadiah kemenangan sebaik dinobat My Hero 4.0 pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehilangan tiga ahli keluarga dalam tempoh sebulan tidak melemahkan semangat seorang mualaf, Muhammad Farhan Param Kunaseigaran, 37, untuk terus aktif terlibat dalam aktiviti sukarelawan sehingga mendapat pengiktirafan Anugerah My Hero 4.0 pada Khamis.

Menurutnya, pengiktirafan daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) itu sekali gus memberikan suntikan semangat buatnya untuk terus berbakti kepada komuniti.

Muhammad Farhan Param turut berkongsi bahawa penglibatan dalam bidang sukarelawan telah dipupuk sedari kecil hasil didikan mendiang bapanya yang tidak lokek membantu jiran-jiran dalam kesusahan dengan berkongsi makanan dan keperluan barangan dapur.

"Dari peringkat awal saya tak letak sasaran kerana sukarelawan yang tercalon semua hebat dan berpengalaman.

"Kalau tak menang pun tak apa kerana disenarai pendek sebagai 13 calon akhir pun saya sudah cukup gembira.

"Kemenangan ini menyuntik semangat untuk kita perbanyakkan lagi projek amal ini supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kehilangan ahli keluarganya, Muhammad Farhan Param menjelaskan, beliau kini sebatang kara selepas ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia antara pertengahan Jun hingga awal bulan Julai tahun sama akibat jangkitan Covid-19 pada 2020.

Muhammad Farhan Param menyampaikan sumbangan pek makanan kepada salah seorang penerima.
Muhammad Farhan Param menyampaikan sumbangan pek makanan kepada salah seorang penerima.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, kawasan perumahan saya iaitu Perumahan Awam Taman Ikan Emas Cheras sudah ada banyak kes Covid-19 menyebabkan saya turut dijangkiti ketika melaksanakan projek sedekah makanan.

"Saya terima rawatan selama seminggu dan ketika pulang, mereka sudah tiada di rumah.

"Ibu meninggal dunia pada pertengahan Jun disusuli abang selepas seminggu dan ayah pula menyusul seminggu kemudian," katanya.

Penolong pegawai penerangan itu berkata, akibat kejadian itu, hampir tiga bulan beliau mengalami trauma sebelum mengambil keputusan memeluk Islam dan aktif kembali dalam aktiviti kemasyarakatan.

Dalam masa sama katanya, rakan-rakan turut memberikan semangat untuk bangkit dan menghidupkan kembali projek sedekah makanan yang diusahakan sekian lama.

Mengulas perkembangan terbaru, ujarnya, kerja sosial itu kian berkembang hasil sokongan daripada kawan-kawan yang turut-serta dalam projek dikendalikannya hingga berjaya mengumpul sumbangan antara 100 ke 200 pek bagi setiap kali serahan.

"Projek saya bermula di kawasan kejiranan yang kebanyakan B40 sebelum dikembangkan ke perumahan awam Cheras dan Bandar Tun Razak serta Kampung Pandan.

"Program bukan diadakan setiap hari, sebaliknya secara on-off hasil sumbangan daripada penyumbang berbeza-beza.

"Bagaimanapun, saya masih menggunakan pendapatan sendiri untuk projek sedekah makanan sebab kita tidak boleh terlalu berharap dengan sokongan orang kerana ia bukan paksaan," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian pada Khamis, seramai enam sukarelawan diangkat sebagai penerima Anugerah My Hero 4.0 anjuran KLSCCCI serta akhbar Nanyang Siang Pau pada Khamis.

Presiden KLSCCCI, Datuk Ng Yih Pyng berkata, program itu bermula sejak 2014 dan diadakan setiap dua tahun sebagai memberikan penghargaan kepada hero tidak didendang yang telah memberi khidmat bakti kepada komuniti.