Reman suami isteri seleweng kutipan zakat lebih RM9 juta disambung

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Tempoh reman pasangan suami isteri yang disyaki terlibat kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta, Jumaat lalu, disambung tiga hari lagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, permohonan sambung reman terhadap lelaki berusia 50 tahun dan wanita 53 tahun itu dibuat selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini tamat pada Jumaat.

"Kita sudah reman dan memperoleh tempoh tiga hari bermula esok (Sabtu) sehingga 15 Januari (Isnin)," katanya ringkas ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, suspek yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah.

Sinar Harian melaporkan kedua-dua individu tersebut ditangkap oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah lokasi di Kuala Lumpur selepas menerima laporan daripada MAIPk.

Siasatan awal mendapati suspek menjalankan transaksi kutipan menerusi dalam talian dan dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.

Artikel Berkaitan: