Pasti tubuh pra tahfiz orang asli pertama di Malaysia

Danial (belakang, empat dari kiri) dan pihak pengurusan serta sebahagian ibu bapa bersama murid orang asli yang mengikuti kelas pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam di Pra Tahfiz Al-Hadi di Kampung Pantos, Pos Lanai di sini yang menjadi pra tahfiz orang asli pertama di negara ini.

A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Negeri Pahang melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan pra tahfiz Pasti orang asli yang pertama di negara ini.

Pra Tahfiz Pasti Al-Hadi di Kampung Pantos Pos Lanai itu memulakan kelas hari ini membabitkan enam anak-anak penduduk setempat.

Pengarah Pasti Pahang, Danial Abdul Aziz berkata, penubuhan pra tahfiz Pasti itu bertujuan memberi peluang kepada anak-anak orang asli berusia empat dan lima tahun di kawasan tersebut mendapat pendidikan awal berteraskan Islam melalui kokurikulum Pasti.

Menurutnya, ia juga sebahagian usaha mendekati masyarakat terbabit di kawasan majoriti Islam iaitu seramai 1,552 penduduk.

"Allhamdulillah, atas komitmen pihak pengurusan, ibu bapa dan murid, penubuhan pra tahfiz Pasti orang asli pertama di negara ini dapat direalisasikan.

"Satu premis kini sedang diubah suai untuk keselesaan murid dan buat sementara waktu operasi Pasti kini diadakan di masjid kampung berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Danial berkata, bagi fasa pertama murid akan didedahkan dengan penekanan akidah dan al-Quran yang dikenali sebagai Nurul Quran dan satu kaedah istimewa yang disediakan melalui kokurikulum Pasti.

Artikel Berkaitan:

Danial bersama seorang murid orang asli yang mengikuti kelas pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam di Pra Tahfiz Al-Hadi di Kampung Pantos, Pos Lanai di sini yang menjadi pra tahfiz orang asli pertama di negara ini.

"Kita harap usaha ini dapat melahirkan generasi celik ilmu dunia dan akhirat bagi mendepani cabaran besar pada masa depan.

Beliau berkata, menjadi satu tanggungjawab besar kepada Pasti sebagai sebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak untuk meluaskan dakwah terhadap masyarakat orang asli supaya mendekati Islam.

"Justeru, semua pihak diseru menyokong usaha murni ini dengan harapan anak-anak di Pasti ini mampu menjadi modal insan berharga buat agama, bangsa dan negara.

"Sehubungan itu, pihak pengurusan Pra Tahfiz Pasti Kawasan Cameron Highlands memohon orang menyumbang kepada Tabung Penubuhan cawangan Pasti di Pos Lanai ini untuk membaik pulih premis untuk keselesaan murid mengikuti kelas," katanya.

Danial berkata, sumbangan orang ramai juga akan digunakan untuk menyediakan peralatan mengajar selain menampung kos pengurusan termasuk pembelian buku dan bil utiliti.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 556244009745 atas nama Pasti Kawasan Cameron Highlands," katanya.