Polis tahan tiga lelaki, rampas syabu RM1 juta di Semporna

No Image Caption
A
A
A

SEMPORNA - Polis menggagalkan cubaan tiga lelaki untuk menyeludup keluar lebih 20 kilogram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM1 juta dalam serbuan di Jeti Umum Semporna, pada 3 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dua lelaki tempatan serta seorang warga asing berumur antara 36 hingga 38 tahun itu ditahan anggota Balai Polis Bum Bum serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Semporna yang menjalankan pemerhatian pada 6.30 pagi.

"Ketika kejadian tiga lelaki dalam bot dari arah laut dilihat telah merapat ke tebing batuan bersebelahan jeti umum dan seorang daripadanya naik ke darat. Selang beberapa minit, lelaki terbabit membawa dua bagasi dan kembali menuju ke arah bot dalam keadaan mencurigakan.

"Lelaki yang membawa bagasi bertindak terjun ke laut selepas menyedari kehadiran polis, seorang lagi lelaki berlari ke arah tebing berbatuan manakala seorang lagi cuba melarikan diri dengan menghidupkan enjin bot, namun semuanya berjaya ditahan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Farhan Lee berkata, pemeriksaan terhadap dua bagasi itu menemukan 20 bungkusan plastik hitam mengandungi ketulan mampat hablur jernih disyaki syabu seberat 20,227.42 gram dan dadah ini dipercayai untuk edaran di negara jiran.

"Suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan modus operandi menggunakan jeti umum pada awal pagi kerana ketika ini lokasi itu sibuk dengan ramai pelancong yang mahu melakukan island hopping atau masuk ke resort di pulau peranginan, selain orang tempatan yang mahu ke pulau-pulau kampung mereka.

"Jadi mereka guna kawasan ini dengan harapan tidak disedari sesiapa, dan pihak polis berterima kasih dengan maklumat orang awam sehingga tertangkapnya kesemua suspek,” katanya menambah ketiga-tiga lelaki berkenaan positif terhadap syabu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan menolak kemungkinan kesemua lelaki terbabit mempunyai rakan subahat di kawasan daratan kerana pada ketika itu merupakan waktu sibuk di jeti itu dengan keadaan kereta diletakkan bersilang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Farhan Lee meminta orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berhubung kes itu agar menyalurkan kepada polis dengan menghubungi talian 089-782020 atau pegawai penyiasat kes Insp Adzilee Suili menerusi 014-866 5087.

Beliau berkata, siasatan juga tidak menunjukkan sebarang kaitan suspek dengan sindiket dadah pengedaran syabu terbesar di Sabah yang didedahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini. - Bernama