Jangan risau tertinggal telefon bimbit jika diperiksa JPJ

Zulkarnain (kiri) ketika meninjau kaunter perkhidmatan pelanggan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu pada Rabu.
Zulkarnain (kiri) ketika meninjau kaunter perkhidmatan pelanggan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pengguna jalan raya tidak perlu bimbang sekiranya tidak membawa telefon bimbit ketika pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana butiran lanjut boleh disemak melalui sistem sedia ada.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, inisiatif pendigitalan yang telah dilaksanakan terutama melibatkan pemeriksaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dapat membantu melancarkan proses penguatkuasaan.

"Sekiranya gagal menunjukkan lesen melalui aplikasi mudah alih MyJPJ, pegawai kita boleh menyemak melalui sistem sedia ada.

"Terbaharu, JPJ juga telah memperkenalkan perkongsian LKM yang dipanggil e-LKM dimana ia membolehkan anda mempamerkan lesen orang lain ketika memandu kenderaan milik individu terbabit.

"Dalam MyJPJ ada disediakan satu sistem perkongsian supaya boleh mempamerkan LKM milik orang lain di telefon bimbit misalnya jika memandu kenderaan milik suami atau isteri. Ini antara yang terbaharu diperkenalkan," katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau kaunter perkhidmatan pelanggan di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JPJ juga telah memperkenalkan sistem pendigitalan bagi pembaharuan lesen memandu.

"Untuk renew (memperbaharui) lesen, kita akan bagi slip untuk menggantikan lesen fizikal. Bagaimanapun, proses atau sistem pemberian slip ini bersifat sementara sehingga penghujung 2024.

"Pada 2025 kita akan laksanakan sepenuhnya sistem pendigitalan yang mana pengenalan kepada sistem ini telah bermula sejak 2023.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kita harap orang ramai dapat mempelajari sistem ini kerana akan datang kita tidak boleh mengwlak daripada menerima dan mempraktikkan perkembangan teknologi sedia ada,"katanya.

Dalam pada itu, katanya pelbagai kelebihan boleh dinikmati menerusi sistem pendigitalan berkenaan yang bertujuan melancarkan urusan orang ramai.

"Melalui sistem ini, selain menyemak kita juga boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM ) pada bila-bila masa dan di mana sahaja hanya dengan menggunakan telefon bimbit tanpa perlu hadir ke kaunter apabila sistem lengkap sepenuhnya sedikit masa lagi.

"Perkembangan teknologi ini merupakan perkembangan positif dalam era baharu dan inisiatif ini akan dilaksanakan termasuk dalam pelbagai aspek termasuk bidang penguatkuasaan," katanya.