KKM gempur kedai makan, penghisap rokok

KKM melaksanakan operasi kesalahan merokok di seluruh negara.
KKM melaksanakan operasi kesalahan merokok di seluruh negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 235,706 notis kesalahan larangan merokok dikeluarkan bagi tempoh dua tahun di seluruh negara hasil tindakan 28,819 operasi.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, jumlah itu direkodkan bagi tahun 2022 dan 2023.

Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 12,773 bilangan operasi di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022, manakala bagi tahun 2023 bilangan operasi adalah sebanyak 16,046.

"Bagi Peraturan 11 (1) PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di 23 tempat dilarang merokok, sejumlah 67,350 notis kesalahan dikeluarkan pada tahun 2022, manakala sebanyak 96,127 notis kesalahan dikeluarkan pada tahun 2023.

"Bagi Peraturan 11 (1)(d) PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di tempat makan, sejumlah 30,648 notis kesalahan dikeluarkan pada tahun 2022, manakala sebanyak 41,581 notis kesalahan dikeluarkan pada tahun 2023," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, lima negeri dengan notis kesalahan merokok di tempat makan paling tinggi sepanjang tahun lalu adalah Selangor (6,126 notis), Johor (5,174 notis), Perak (4,365 notis), Sarawak (4,240 notis) dan Pahang (4,002 notis).

Antara premis yang diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan KKM berkaitan pematuhan dan kesalahan merokok.
Antara premis yang diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan KKM berkaitan pematuhan dan kesalahan merokok.

Mengulas mengenai operasi sepanjang dua hari pada Selasa dan Rabu, sebanyak, 119 notis kesalahan dengan nilai sebanyak RM28,950.00 di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan dikesan ialah gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis, gagal memastikan tiada orang merokok di premis serta kesalahan merokok oleh orang belum dewasa," ujarnya.

Tambah beliau, KKM ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

"Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Tegasnya, KKM mengambil maklum dan memandang serius isu aduan kesalahan merokok di tempat larangan terutama di premis makan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan menjadi tular di media-media sosial.

"Sebagai makluman, aktiviti-aktiviti penguatkuasaan larangan merokok dijalankan secara berkala di semua negeri di seluruh negara," katanya.