Tukang cuci mengaku seronok lepak di rumah lelaki bujang

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU- "Saya sudah 'terbiasa' melepak di rumah itu, lagipun tidak seronok melepak di rumah sendiri kerana saya sukakan kebebasan dalam pergaulan," demikian alasan diberikan seorang wanita sebelum mengaku salah berkhalwat bersama dua lelaki di sebuah rumah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.

Susulan pengakuan itu, wanita yang berusia 34 tahun, dari Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Terdahulu, dia yang bekerja sebagai tukang cuci mengaku salah berkhalwat bersama dua lelaki masing-masing berusia 70 dan 24 tahun di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Long, di sini, kira-kira jam 7.25 malam, pada 19 April tahun lalu.

Dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar di hadapan Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof.

Dalam penghakimannya, Mohd Fakhruddin berkata, hukuman diberikan harap dapat memberi pengajaran kepada wanita itu termasuk masyarakat agar jangan sesekali berseronok untuk duduk bersama-sama tanpa ada batas sempadan hubungan mahram atau boleh membawa kepada perbuatan perzinaan.

Sebelum ini, kekerapan wanita itu melepak di rumah tersebut dalam keadaan mendedahkan aurat mengundang rasa tidak selesa jiran terdekat sebelum mengambil keputusan membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kedua-dua lelaki berkenaan yang turut mengaku salah atas pertuduhan sama dijatuhi hukuman denda RM2,400 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.