Peniaga 'halalkan' pelanggan beli ayam guna wang palsu RM100

Seorang peniaga berkongsi melalui Facebook Kuala Nerus mendakwa menerima wang kertas palsu daripada pelanggan tidak dikenali ketika membeli ayam payang dijual di gerainya yang terletak bersebelahan Balai Polis Tepoh, Kuala Nerus pada Rabu.
Seorang peniaga berkongsi melalui Facebook Kuala Nerus mendakwa menerima wang kertas palsu daripada pelanggan tidak dikenali ketika membeli ayam payang dijual di gerainya yang terletak bersebelahan Balai Polis Tepoh, Kuala Nerus pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang peniaga mendakwa menerima wang kertas palsu daripada pelanggan yang tidak dikenali ketika membeli ayam payang dijual di gerainya yang terletak bersebelahan Balai Polis Tepoh, di sini pada Rabu.

Syaubah Kamal, 34, berkata, perkara itu disedari suaminya, Mohd Azmi Long@Ismail, 42, ketika mengambil duit berkenaan untuk membeli bekas plastik membungkus ayam sekitar jam 4 petang.

"Saya tak perasan masa bila dapat duit palsu tu sebab kebetulan hari ini adik saya, Muhammad Ezam Kamal, 23, bantu kami berniaga.

"Biasanya suami saya yang jaga gerai ni tapi hari ini dia ada urusan yang perlu diselesaikan.

"Saya pula hanya boleh duduk di kerusi roda sahaja sebab tak boleh berdiri. Kaki saya cedera selepas kemalangan tiga tahun lepas.

"Adik saya mungkin tak perasan sebab dia belum biasa berniaga. Pegang tu rasa lain, bukan wang asli sebaliknya macam kertas yang dicetak gambar duit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Syaubah, sebanyak tiga keping duit RM100 yang diterima daripada pelanggan pada Khamis dan satu daripadanya dikesan duit palsu.

"Kita terima ramai pelanggan antara jam 12.30 hingga 1.30 petang. Waktu itu keadaan agak sibuk.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa waktu tu ada yang ambil kesempatan beli ayam guna duit palsu.

"Saya halalkan apa yang mereka makan, mungkin bukan rezeki saya.

"Cuma bagi saya, saya perlu beri peringatan kepada peniaga-peniaga lain supaya tidak tertipu dengan taktik licik itu.

"Bayangkan kalau peniaga macam mak cik yang dah tua, jual air tepi jalan, ditipu pula dengan duit palsu ini, berapa banyak kerugian yang dia perlu tanggung sedangkan dia berniaga pun tidak seberapa?" ujarnya yang baru lima bulan berniaga ayam payang.

Syaubah berkata, dia dan suami bercadang untuk membuat laporan di Balai Polis Tepoh dalam tempoh terdekat.

"Saya perlu buat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan dan tidak ada orang yang teraniaya dan tanggung kerugian dengan penipuan itu," katanya.