MAINS guna wang fidyah, kaffarah sedia makanan RMT 3,861 murid

Abdul Aziz (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan program MAINS Care kepada Roslan (dua dsri kanan). Turut kelihatan Aminuddin (dua dari kiri)
Abdul Aziz (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan program MAINS Care kepada Roslan (dua dsri kanan). Turut kelihatan Aminuddin (dua dari kiri)
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan(MAINS) memperuntukkan sebahagian wang fidyah dan kaffarah yang diterima daripada masyarakat untuk disalurkan bagi penyediaan makanan tengah hari buat murid-murid yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, sebagai permulaan, program berkenaan dilaksanakan di 49 buah sekolah terpilih yang telah memberi manfaat kepada seramai 3,861 orang murid.

"Program perintis bagi bantuan makanan ini dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, Port Dickson pada Februari lalu dan diteruskan ke sekolah-sekolah terpilih bermula awal September lalu.

"Ia bertujuan membantu murid yang menerima RMT mendapatkan bekalan makanan yang sihat dan berkhasiat agar dapat menjalani sesi persekolahan petang dengan cergas dan bertenaga," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MAINS Care dan Smart Wakaf 2023 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan(JPNS), Dr Roslan Hussin.

Menurutnya, MAINS dengan kerjasama JPNS juga telah melancarkan program SMART wakaf bermula bulan ini sehingga Oktober tahun hadapan.

Ujarnya, program berkenaan merupakan salah satu usaha agensi itu untuk menyuburkan amalan berwakaf dalam kalangan warga pendidik dan para pelajar.

"Sebanyak 30 buah sekolah dipilih bagi menyertai program ini iaitu 15 buah sekolah rendah dan 15 buah sekolah menengah yang mana mereka akan menerima aset wakaf RM 3,000 sebagai tanda kerjasama.

Artikel Berkaitan:

"MAINS berharap dengan adanya program kerjasama seperti ini membolehkan para pelajar menikmati manfaat agihan wakaf yang secara tidak langsung memberi peluang kepada MAINS memperluaskan bantuan dan penyampaian maklumat," katanya.

Selain itu ujarnya, MAINS telah memberikan manfaat wakaf berjumlah RM268,394 kepada sekolah-sekolah di negeri ini sepanjang tahun ini.

Sementara itu pada majlis berkenaan, MAINS telah menerima zakat perniagaan berjumlah RM1.92 juta daripada tujuh syarikat korporat.