Guna invois palsu: Penolong Pegawai PPK Klang didenda RM17,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang didenda RM17,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menggunakan invois palsu sebuah syarikat sebagai tulen, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Zamadi Mohd Zain, 43, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi PPK Klang, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang telah menggunakan invois palsu sebuah syarikat berjumlah RM17,000 sebagai tulen di Pejabat PPK Klang dekat sini pada 15 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Zamadi membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ainul Azwan @ Ainul Azirahman memohon hukuman berbentuk denda yang minimum dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya selain Mohd Zamadi menghidap sakit jantung.

"Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, anak guam saya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serupa, selain tertuduh menanggung isteri, anak, ibu serta dua adik perempuan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras memohon hukuman yang berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan teladan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tertuduh telah mengembalikan RM17,000 itu, tindakan tertuduh ini telah mencemarkan nama serta imej baik PPK Klang. Seharusnya tertuduh memikul tanggungjawab itu dengan telus dan bukan untuk kepentingan diri sendiri," katanya. - Bernama