90 gambar, 3 video berunsur lucah ditemui dalam telefon Ebit Lew

Ebit Lew
Ebit Lew
A
A
A

TENOM - Mahkamah diberitahu sebanyak 90 gambar dan tiga video berunsur lucah ditemui dalam telefon bimbit yang didaftarkan atas nama pendakwah terkenal Ebit Lew.

Perkara itu didedahkan oleh saksi kelapan, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching dalam keterangannya di Mahkamah Tenom pada Rabu.

Dalam pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahidah Zakaria meminta Chang Ching memberitahu mahkamah hasil analisis beliau terhadap pemacu kilat yang mengandungi fail yang diekstrak daripada telefon bimbit tersebut.

Chang Ching memberitahu mahkamah bahawa telefon bimbit itu telah didaftarkan atau digunakan oleh penama yang mendaftar masuk menggunakan e-mel ebitlew@gmail.com berserta dua nombor telefon.

"Dalam telefon bimbit ini saya telah menemui 90 gambar dan tiga video yang disyaki berunsur seksual seperti gambar menampakkan kemaluan lelaki, buah dada perempuan dan lain-lain," jelasnya.

Chang Ching ketika hadir sebagai saksi kelapan dalam perbicaraan membabitkan pendakwa terkenal Ebit Lew di Mahkamah tenom.
Chang Ching ketika hadir sebagai saksi kelapan dalam perbicaraan membabitkan pendakwa terkenal Ebit Lew di Mahkamah tenom.

Chang Ching kemudian memberitahu mahkamah terdapat 17 keping gambar kemaluan lelaki yang ditemui daripada 90 gambar tersebut.

Beliau turut memberitahu mahkamah ada tiga gambar serupa dengan gambar bahan bukti yang dikemukakan dalam sesi perbicaraan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam mahkamah itu juga, Chang Ching diminta menjelaskan mengenai fail kedua iaitu laporan analisis daripada LGMS terhadap telefon bimbit Samsung dan kandungan laporan iaitu berdasarkan carian kata kunci terhadap nombor telefon Ebit dan pengadu.

"Dinyatakan terdapat dua panggilan keluar yang dijawab dan selama 136 saat dan 1,346 saat pada tarikh 1 Mei 2021 jam 7.28 pagi dan pada tarikh 20 Mei 2021 jam 7.50 pagi," katanya.

Bagaimanapun, Chang Ching berkata, tiada sebarang mesej atau media seperti dokumen, pautan dan gambar yang dijumpai.

Sehubungan itu, beliau diminta menjelaskan kemungkinan tiada mesej perbualan antara nombor telefon pengadu dengan pemilik telefon tersebut.

"Kemungkinan tiada mesej perbualan bermaksud telah dipadam dan tiada 'backup' dalam telefon bimbit tersebut.

"Oleh itu, data yang dikeluarkan didapati tidak menjumpai sebarang mesej perbualan antara kedua-dua telefon tersebut," katanya.

Beliau juga memaklumkan selepas selesai menganalisis barang kes tersebut ia disimpan ke dalam almari besi sementara menunggu pegawai penyiasat mengambilnya pada 10 Januari 2023.

Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, diwakili barisan peguamnya iaitu Datuk Ram Singh, Timothy Daut dan Chen Wen Jye, manakala pendakwaan dikendalikan Zahida, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin serta Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.