Pakej Ramadan promosi Malaysia destinasi pelancongan mesra Muslim


Khairul Firdaus (depan, tengah) bersama wakil daripada ITC dan MICA serta imam dari China di KLIA2 pada Rabu.
Khairul Firdaus (depan, tengah) bersama wakil daripada ITC dan MICA serta imam dari China di KLIA2 pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melancarkan pakej pelancongan sempena Ramadan bagi menarik lebih ramai orang Islam berkunjung ke negara ini pada bulan tersebut.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pakej yang bakal dilancarkan pada Isnin depan merupakan antara usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim di rantau ini.

"Kita mahu Malaysia dijadikan tempat orang Islam sambut Ramadan kerana di sini apabila tiba bulan berkenaan, banyak aktiviti kerohanian diadakan selain cara sambutan daripada masyarakat itu sendiri perlu dipromosikan kerana seakan menyambut sebuah perayaan besar.


Khairul Firdaus berkata kepada media selepas menyambut ketibaan sekumpulan imam dari China di KLIA2 pada Rabu.
Khairul Firdaus berkata kepada media selepas menyambut ketibaan sekumpulan imam dari China di KLIA2 pada Rabu.

"Saya harap ia dapat dijayakan oleh semua pemain industri untuk membawa rumusan terbaik kepada semua umat Islam di seluruh dunia," katanya ketika sidang akhbar selepas menyambut ketibaan sekumpulan imam dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pada Rabu.

Seramai 35 imam dari 14 wilayah di China tiba di ibu negara untuk mengikuti lawatan selama tujuh hari anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) dan Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) bagi mendedahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu Khairul Firdaus berkata, program seumpama itu tidak akan berhenti setakat membawa masuk pelancong Muslim terutama golongan imam dari China.

Malah beliau menjelaskan, banyak program sudah dirancang selain memperkukuhkan kerjasama antara ITC dan Tourism Malaysia untuk membawa agenda memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu Malaysia bersaing dengan negara lain dalam penyediaan produk lebih kurang atau ada persamaan.

Khairul Firdaus (dua dari kanan) menyambut ketibaan 35 imam dari China di KLIA2.
Khairul Firdaus (dua dari kanan) menyambut ketibaan 35 imam dari China di KLIA2.

"Ia perlu dimulakan dengan barangan yang tidak boleh disediakan oleh negara lain.

"Oleh sebab itu kita kena fokus, agresif dan holistik tentang bagaimana boleh membawa Malaysia sebagai destinasi utama, terutama kepada pelancong Islam seluruh dunia," ujarnya.

Sementara itu mengenai kebimbangan penularan Covid-19, beliau menjelaskan, MOTAC telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melihat beberapa garis panduan yang bersesuaian.

"Bukan garis panduan yang menyusahkan pelancong hadir ke Malaysia, tetapi bagaimana boleh mengurangkan atau meminimumkan masalah berkaitan dengan mesej yang disampaikan KKM," katanya.