[VIDEO] Aplikasi Think Quran lancar kempen #FahamKhatamAlQuran sempena Ramadan

A
A
A

SHAH ALAM - Think Quran melancarkan kempen #FahamKhatamAlQuran, untuk menggalakkan orang ramai memahami setiap perkataan dalam kitab suci tersebut, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Radzeen Abdul Rahman berkata, Think Quran menggunakan kaedah pengulangan dengan modul berkesan dengan menyasarkan pengguna aplikasinya dapat mengimarahkan bulan puasa tahun ini dengan lebih berkesan.

“Modul aplikasi Think Quran amat berkesan dengan menawarkan modul ringkas yang padat dalam masa yang singkat. Aplikasi interaktif ini sesuai digunakan kanak-kanak mahupun orang dewasa membolehkan pembelajaran dan penghayatan al-Quran dapat diadakan di mana-mana sahaja untuk mengisi ruang masa ketika bulan puasa.

“Jadi kami amat teruja untuk berkongsi bersama sahabat yang lain berkenaan kaedah berkesan untuk memahami dan menghafal al-Quran. Dengan penghayatan yang lebih mendalam, saya berharap Think Quran dapat membantu kita melalui bulan puasa yang lebih barakah,” katanya ketika berucap bersempena melancarkan kempen berkenaan di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Turut hadir Penasihat Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.

Katanya, hanya dengan 15 minit sehari pengguna mampu mengukur prestasi secara kendiri dalam aplikasi.

Suasana pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1445H (Faham Khatam Al-Quran Think Quran) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Suasana pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1445H (Faham Khatam Al-Quran Think Quran) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Hal ini akan dapat memberi manfaat kepada pengguna, yang dianggarkan lebih 300,000 pengguna di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Think Quran juga berhasrat supaya orang ramai seronok untuk mendekati dan mempelajarai bahasa al-Quran.

“Ia merupakan satu kaedah yang membuatkan kita boleh kuasai bahasa Arab (al-Quran), dengan penggunaan kosa kata dan perkataan paling penting, kita telah buat kajian setiap perkataan di dalam al-Quran ini dimana perkataan yang paling banyak ulangannya.

“Jadi kita pilih 1000 perkataan berulang kita mengajarkannya. Kita hendak bagi orang dekat dengan kitab suci dan mula rasa seronok untuk dengar bahasa al-Quran.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kumpulan sasar dalam kempen ini, Abdul Radzeen berkata, pihaknya menyasarkan kelompok Islam yang sudah boleh membaca al-Quran.

“Ia juga boleh digunakan oleh mereka yang tiada asas bahasa Arab, jadi pengguna kita merangkumi semua peringkat umur.

“Kita juga memfokuskan kepada mereka yang mempunyai kerjaya yang cuba mencari ketenangan dalam kehidupan.

Menyentuh mengenai usaha sama Think Quran dan Kumpulan Karangkraf berhubung kempen ini, Abdul Radzeen berkata, pengalaman kumpulan itu dilihat akan dapat melahirkan masyarakat yang sayang dan cintakan kitab suci berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Think Quran, Datuk Abdul Radzeen Abdul Rahman pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1445H (Faham Khatam Al-Quran Think Quran) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ketua Pegawai Eksekutif, Think Quran, Datuk Abdul Radzeen Abdul Rahman pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1445H (Faham Khatam Al-Quran Think Quran) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Jumaat. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Saya melihat Karangkraf (menerusi Yayasan Warisan Ummah) merupakan organisasi yang berjaya melaksanakan perkara yang luar biasa contohnya menerusi Quran Time, World Quran Hour dan sebagainya.

“Yang saya lihat mempunyai visi yang sama dengan kami untuk membawa cahaya al-Quran kepada manusia,” tegasnya.

Pengguna boleh mengakses kempen tersebut melalui laman web rasmi Think Quran, platform Sinar Harian, Karya Bestari, Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan MyQuranTime di TV Digital.

Bersempena dengan kempen itu juga, Think Quran menawarkan satu set percuma al-Quran Amazing dengan setiap langganan seumur hidup Think Quran pada harga RM399.