‘Saya tahu larangan tapi...’

Dr Khalid (kiri) memberi peringatan kepada warga emas tersebut supaya tidak merokok dalam premis makanan atau berdepan kompaun sehingga RM350.
Dr Khalid (kiri) memberi peringatan kepada warga emas tersebut supaya tidak merokok dalam premis makanan atau berdepan kompaun sehingga RM350.
A
A
A

KAJANG - Seorang warga emas yang mahu merokok di sebuah restoran di Metro Kajang di sini bernasib baik kerana tidak sempat menyalakan api rokoknya sebelum dihampiri pegawai kesihatan yang berada di lokasi itu semalam.

Sekumpulan pegawai kesihatan ketika itu menjalankan pemeriksaan sempena Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan.

Lelaki berusia 73 tahun itu mendakwa dia tidak mengetahui penguatkuasaan larangan merokok itu bermula sejak kelmarin tetapi bersyukur kerana tidak sempat dikenakan kompaun.

“Saya tahu mengenai larangan itu tetapi tidak pasti tindakan penguatkuasaannya kerana masih melihat ramai yang merokok dalam kedai.

“Biasanya saya merokok di luar kedai tapi tak tahu kenapa hari ini (semalam) sampai saja di sini terus mahu merokok, tapi bernasib baik api belum dinyalakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Operasi yang bermula jam 10.30 pagi itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim membabitkan pemeriksaan di 40 premis makanan.

Dr Khalid menunjukkan puntung rokok yang ditemui dalam premis makanan sewaktu operasi dijalankan semalam.
Dr Khalid menunjukkan puntung rokok yang ditemui dalam premis makanan sewaktu operasi dijalankan semalam.

Dr Khalid berkata, sebanyak 305 premis makanan telah diperiksa dan 85 kompaun dikeluarkan dalam operasi kelmarin.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah itu melibatkan kesalahan merokok dalam premis. Enam daripadanya terdiri remaja bawah umur manakala bakinya ke atas pemilik premis atas kesalahan papan tanda larangan merokok tidak ditampal atau tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Operasi diteruskan hari ini (semalam) dan sebanyak tiga kompaun dikeluarkan sehingga jam 2 petang melibatkan dua kesalahan merokok dalam premis dan tiada papan tanda larangan merokok,” katanya.

Dr Khalid menunjukkan notis larangan merokok yang mengikut spesifikasi (kiri) dengan yang lama (kanan).
Dr Khalid menunjukkan notis larangan merokok yang mengikut spesifikasi (kiri) dengan yang lama (kanan).

Katanya, operasi sama akan diadakan setiap hari dalam tempoh 14 hari sejak kelmarin dan diteruskan secara berkala dua kali seminggu selepas tempoh itu.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan penguatkuasaan penuh larangan merokok di premis makanan diadakan serentak di seluruh negara bermula 1 Januari 2020 dengan kompaun maksimum sehingga RM350 di bawah Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.