Tidak susah cari makanan halalan toyyiban di Sabah

Mohd Arifin ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Penyampaian Bantuan Pendidikan di SICC Kota Kinabalu.
Mohd Arifin ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Penyampaian Bantuan Pendidikan di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif menafikan dakwaan sukar untuk mendapatkan makanan 'halalan toyyiban' di negeri ini.

Jelasnya, banyak premis makanan di Sabah mempunyai sijil dan logo halal untuk dijadikan pilihan.

"Tidak susah (dapatkan makanan halalan toyyiban) kecuali kita mahu rasa susah, susahlah. Kalau kita sudah banyak logo halal, bererti banyaklah sudah halal di sini.

"Jadi kita perlu berhati-hati dalam hal ini dan apa-apa masalah, kekeliruan kita, rujuk dengan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Penyampaian Bantuan Pendidikan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Selasa.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa sukar untuk mendapatkan makanan halalan toyyiban di Sabah menerusi satu video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tambah Mohd Arifin lagi, salah satu fokus tahun ini adalah usaha untuk memperkasakan halal menerusi Muis.

"Sebelum ini pun kita memperkukuhkan dan beratus sijil halal dan logo yang telah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Malah kita ada Majlis Halal Hub, Jawatankuasa Majlis Hub yang saya pengerusikan sendiri. Kita ada Muis Halal Hub sendiri dan kita bersama Jakim sentiasa memastikan halalan toyibban ini dapat diperkasakan di Sabah.

"Sepanjang yang saya maklum, tidak ada masalah tetapi dari masa ke masa saya bersama Pembantu Menteri kita dan Yang Dipertua Muis akan memantau perkara ini," katanya.