Bantu negara Islam dapatkan makanan halal dari Vietnam

Vietnam memiliki bahan mentah yang banyak seperti kopi, teh, biji gajus, kerepek, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan harga yang kompetitif.
Vietnam memiliki bahan mentah yang banyak seperti kopi, teh, biji gajus, kerepek, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan harga yang kompetitif.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi memudahkan negara-negara Islam mendapatkan bekalan makanan yang mempunyai persijilan halal, bekas Naib Presiden Halal Development Corporation (HDC), Ramlan Osman kini sedang membantu kerajaan Vietnam menubuhkan agensi yang mengeluarkan persijilan itu di negara berkenaan.

Ramlan yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsultan Vietnam Halal Center berkata, menerusi usaha itu, potensi yang dimiliki Vietnam selaku negara jiran ASEAN kepada Malaysia dapat diteroka sebagai pembekal makanan halal secara berterusan kepada negara ini dan negara Islam yang lain.

"Vietnam memiliki bahan mentah yang banyak seperti kopi, teh, biji gajus, kerepek, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan selain hargannya juga kompetitif.

"Namun, setakat ini daripada kira-kira 550,000 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor makanan dan minumanan (F&B) yang terdapat di sana, hanya 1,000 syarikat sahaja yang memiliki persijilan halal," katanya ketika ditemu bual Sinar Harian pada Rabu.

Ramlan
Ramlan

Mengulas lanjut, Ramlan yang kini menetap di Vietnam sejak lima tahun lalu berkata, persijilan halal yang dimiliki segelintir syarikat negara itu juga diragui kerana ia didakwa tidak mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, ia kerana persijilan halal itu dikeluarkan oleh syarikat swasta dan bukan daripada kerajaan Vietnam sendiri.

"Sekarang di Vietnam ada lebih kurang 30 syarikat yang mengeluarkan persijilan halal tetapi yang mendapat pengiktirafan daripada Jakim hanya satu syarikat sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Itupun mereka tidak mempromosikan secara mendalam perkhidmatan mereka sebab daripada segi kompetensi mereka tidak semahir pakar halal di Malaysia," ujarnya.

Justeru, Ramlan menjelaskan, tujuan agensi persijilan halal Vietnam mahu ditubuhkan supaya persijilan halal yang dikeluarkan di negara berkenaan diiktiraf Jakim.

Ramlan (kiri) meninjau ladang kopi di Vietnam yang meminta bantuan Vietnam Halal Center untuk mendapatkan persijilan halal.
Ramlan (kiri) meninjau ladang kopi di Vietnam yang meminta bantuan Vietnam Halal Center untuk mendapatkan persijilan halal.

"Sekarang saya dalam proses perbincangan dengan kerajaan Vietnam menerusi kementerian sains, teknologi dan inovasinya untuk penubuhan agensi ini.

"Perbincangan ini dilakukan sejak September lalu dan wakil kementerian sains negara itu dibawa datang ke Jakim, HDC dan Jabatan Standard Malaysia," tambahnya.

Beliau berkata, agensi itu dijangka akan mula dibuka pada suku kedua tahun ini sekali gus akan memberi kenyakinan kepada negara-negara Islam untuk mendapatkan bekalan makanan halal daripada Vietnam.