'Sanusi ibarat cerita dongeng penggembala kambing' - Shaiful Hazizy

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Shaiful Hazizy
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seperti cerita dongeng penggembala kambing yang seringkali menipu.

Beliau berkata, ini kerana Muhammad Sanusi sering mendakwa kononnya sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk menjatuhkan Kerajaan Madani.

Menurutnya, dakwaan tersebut seolah-olah sudah hampir menjadi perkara wajib buat Ketua Pengarah Pilihanraya Perikanan Nasional (PN) itu setiap bulan malah sejak bulan Ogos tahun lalu, namun ia tidak menjadi kenyataan.

"Sanusi ini sebenarnya sudah boleh kita ibaratkan penggembala kambing yang menipu orang kampung mengenai serigala datang memakan kambingnya, sekali dua orang percaya, kali ketiga orang sudah tidak percaya.

"Sama juga macam kes Sanusi, sudah terlampau banyak kali menipu, rakyat pun sudah naik muak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Shaiful Hazizy berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya merancang dengan baik tentang penipuan terbabit kerana ia bercanggah dengan kenyataan rakan politiknya.

"Ini tidak, pejabat ketua pembangkang sudah menafikan 'Langkah Dubai' tetapi Sanusi kata langkah itu sudah berjaya dan dengan penuh berani mengeluarkan kenyataan 'Sudah Cukup SD, Tinggal Tunggu Hari'.

"Kalau betul lah SD sudah cukup, kalau betul lah sokongan sudah ramai, saya cabar Sanusi untuk lakukan gerakan beliau sekarang, jatuhkan lah kerajaan sekarang, kenapa hendak tunggu lama-lama? Hendak pegang SD lama-lama untuk buat pekasam?," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, di sebalik kenyataan Muhammad Sanusi itu, hakikatnya ia adalah sekadar 'mind game' oleh Sanusi untuk mewujudkan rasa sangsi ahli Parlimen sesama sendiri.

"Tetapi Sanusi lupa, dia sudah pun digelar kaki propa dan kaki menipu. Selalu sangat menipu, orang tidak akan percaya, orang tidak waras pun tidak mahu percaya cerita Sanusi.

"Saya yakin tiada satu pun ahli Parlimen yang akan terpedaya dengan 'mind game' oleh Sanusi. Malah, apa yang berlaku sekarang jauh berbeza dari apa yang diperkatakan oleh Sanusi," ujarnya.

Tambahnya, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal juga memberi jaminan terdapat sekurang-kurangnya tujuh lagi ahli Parlimen yang akan tampil menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mudah kata, pentadbiran dan sokongan PMX yang semakin padu, sokongan terhadap PN yang semakin lemah," katanya.