Prasarana bakal guna kenderaan EV sepenuhnya menjelang 2037

Anthony Loke (tengah) ketika sidang akhbar selepas sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan pelan 2024 di Menara UOA pada Selasa.
Anthony Loke (tengah) ketika sidang akhbar selepas sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan pelan 2024 di Menara UOA pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal beralih menggunakan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya menjelang tahun 2037.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mencapai mobiliti hijau dan mengelektrikfikasikan pengangkutan awam.

Susulan itu katanya, Prasarana akan menerima bas (enjin diesel) yang akan menjadi perolehan terakhir bagi bas berenjin sebelum beralih kepada EV.

“Bermula tahun hadapan kita akan cuba ke arah bas EV tetapi ada lagi pembelian 310 bas (enjin diesel) dan saya sudah beritahu Prasarana bahawa ia adalah pembelian terakhir membabitkan bas jenis itu.

“Sebab tender perolehan sudah dikeluarkan dan kini dalam proses penilaian sebelum dianugerahkan pada Mac ini," katanya ketika sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan pelan 2024 di Menara UOA pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan membuat perolehan sebanyak 150 bas EV dan membina depot pengecas bagi menyokong perkhidmatan bas pengantara itu membabitkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3 dengan kos sebanyak RM600 juta.

Sebelum itu Prasarana dilaporkan menyasarkan untuk mengubah wajah bas milik mereka kepada sekurang-kurangnya 30 peratus bas jenis EV.

Dalam perkembangan lain, Prasarana juga bakal memasang sistem papan solar di 75 stesen, depoh dan hab pengangkutan awam milik mereka yang dijangka mampu menjana elektrik mencecah 13 megawatt (mw) menjelang 2027.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini Prasarana mampu menjana 0.8 mw kuasa elektronik menerusi sistem papan solar yang dipasang di enam stesen Bus Rapid Transit (BRT) laluan Sunway dekat Bandar Sunway, Petaling Jaya di Selangor.