Mangsa banjir jangan bimbang, rumah selamat - Polis

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap dalam rumah mereka di kampung dan taman sekitar bandar Kota Tinggi pada Isnin.
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap dalam rumah mereka di kampung dan taman sekitar bandar Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Mangsa banjir di daerah ini yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak perlu bimbang dengan keselamatan harta benda mereka di rumah kerana polis sentiasa melakukan operasi pencegahan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, keadaan adalah terkawal dan selamat kerana pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan.

"Sejak banjir melanda pada Khamis sehingga kini, pihak polis tidak ada menerima sebarang laporan tentang kehilangan harta benda mahu pun kecurian atau kehilangan nyawa," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke pusat bandar ini kerana situasi masih sama dan paras air mencecah ketinggian tiga meter di kawasan rendah sekali gus mendatangkan risiko.

Bandar Kota Tinggi yang masih ditenggelami banjir sehingga Selasa malah air naik mencecah sehingga tiga meter di beberapa kawasan.
Bandar Kota Tinggi yang masih ditenggelami banjir sehingga Selasa malah air naik mencecah sehingga tiga meter di beberapa kawasan.

Katanya, pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif untuk keluar dari bandar Kota Tinggi ke Johor Bahru dan Mersing.

"Antaranya Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi; Jalan Kota Tinggi - Mersing melalui jalan pintasan (bypass) dan Jalan simpang lampu isyarat Pasak Ke Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru, tetapi mengambil masa yang agak panjang kerana pengalihan jalan.

"Ini berikutan keadaan situasi banjir yang mana banyak jalan-jalan yang masih digenangi air. Orang ramai boleh membuat pemantauan jalan menerusi media atau laman facebook rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis serta juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Hussin menasihatkan agar masyarakat berhati-hati dan tidak bermain air banjir kerana dikhuatiri mendatangkan penyakit yang dibawa air bah.

Bandar Kota Tinggi sehingga pagi Selasa hampir lumpuh selepas ditenggelami banjir di beberapa jalan utama dan orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif jika mahu ke pusat bandar.
Bandar Kota Tinggi sehingga pagi Selasa hampir lumpuh selepas ditenggelami banjir di beberapa jalan utama dan orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif jika mahu ke pusat bandar.

Ujarnya, keadaan banjir di daerah ini setakat ini masih terkawal dan berharap masyarakat dapat kekal tenang dan tidak panik.

Setakat jam 8 pagi Selasa, Kota Tinggi masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor yang merekodkan seramai 4,707 penduduk daripada 493 keluarga ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam satu kenyataan pada Selasa, daerah kedua terjejas teruk adalah di Kluang yang melibatkan 1,601 penduduk (493 keluarga di 13 PPS) diikuti Johor Bahru 840 penduduk (493 keluarga di 13 PPS).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memberitahu, di Kulai pula melibatkan 86 penduduk (23 keluarga di sebuah PPS); Segamat 73 penduduk (20 keluarga di tiga PPS) dan Pontian 17 penduduk (empat keluarga di sebuah PPS).

"Secara keseluruhan mangsa banjir di seluruh Johor setakat jam 8 pagi ini berjumlah 7,324 penduduk melibatkan 2,062 keluarga dari enam daerah dan mereka dipindahkan ke 49 PPS," katanya dalam kenyataan tersebut.