Pemandu Bezza tercampak maut dilanggar bas ekspres
BATU PAHAT - Seorang lelaki maut dilanggar bas ekspres selepas tercampak keluar daripada kereta dipandunya di Kilometer 115, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.45 pagi.
Beliau berkata, kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu mangsa terbalik setelah melanggar belakang sebuah lori.
Akibat pelanggaran itu, Ismail berkata, mangsa kemudiannya tercampak keluar ke atas jalan sebelum dilanggar oleh sebuah bas ekspres yang datang dari arah yang sama.
"Sementara itu, lori yang dipandu lelaki berusia 48 tahun, terbabas di bahu jalan sebelah kiri dan mengalami kecederaan ringan manakala pemandu bas berusia 25 tahun bersama 28 penumpang, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Semua pemandu adalah warga tempatan dan mangsa yang meninggal dunia berasal dari Bahau, Negeri Sembilan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama.