Dua beranak tercampak, motosikal dirempuh bas

Tangkap layar video memaparkan kejadian dua beranak tercampak jatuh dari motosikal selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Kuantan-Pekan pada Isnin.
Tangkap layar video memaparkan kejadian dua beranak tercampak jatuh dari motosikal selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Kuantan-Pekan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Kanak-kanak lima tahun bersama ibunya cedera tercampak dari motosikal selepas terlibat kemalangan dengan sebuah bas persiaran di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Kuantan-Pekan di sini pada Isnin.

Kanak-kanak terbabit yang mengalami luka di tangan, badan dan kepala kini dirawat di wad kecemasan (zon merah) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) manakala ibunya berusia 43 tahun dirawat di zon kuning hospital sama.

Kemalangan terbabit mendapat perhatian apabila rakaman video kejadian berdurasi 36 saat dimuat naik dan tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bas tanpa penumpang dipandu lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Terengganu menghala ke Johor.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, semasa bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai keluar dari simpang sebelah kiri dan mengubah ke lorong kanan memasuki laluan bas.

"Pemandu bas cuba mengelak namun gagal apabila terlanggar motosikal terbabit kerana jarak yang terlalu dekat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, polis telah mengambil rakaman kamera papan pemuka bas dan merakam keterangan pemandu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.