12 laporan polis siasat dalang 'Langkah Dubai'

Shamsul ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Putrajaya di sini pada Isnin.
Shamsul ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Putrajaya di sini pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 12 laporan polis dibuat serentak di seluruh negara bagi menggesa siasatan terhadap dalang gerakan 'Langkah Dubai' bagi menjatuhkan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Kanan kepada Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, laporan polis tersebut juga sekali gus untuk menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat dan memberi kesan terhadap keyakinan para pelabur.

"Saya ambil pendirian hari ini untuk buat laporan supaya siasatan boleh dilakukan kerana selama ini kita berdiam.

"Apabila nampaknya (gerakan 'Langkah Dubai') menguasai media sosial dan persepsi rakyat, saya fikir ia perlu ditamatkan," katanya katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini pada Isnin.

Menurutnya, gerakan tersebut jelas merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bukan hanya mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen, malah sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan kerajaan di pertengahan pentadbiran.

"Sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang mengancam keselamatan negara mestilah digagalkan," katanya sambil menambah bahawa beliau yakin ia digerakkan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Shamsul yang sebelum ini merupakan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, tindakan seperti gerakan 'Langkah Dubai' tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku.

"Kalau betul ada ketidakpuasan begitu, sewajarnya dibawa ke Parlimen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Shamsul berkata, 12 laporan tersebut di di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Sabah, Sarawak termasuk Putrajaya.

Ditanya adakah beliau menamakan mana-mana ahli Parlimen di dalam laporan tersebut beliau berkata ia tidak didedahkan namun yakin soalan mengenai perkata tersebut akan ditanya oleh polis semasa siasatan.

Menyentuh mengenai tanggapan bahawa laporan polis tersebut menggambarkan seolah-olah kerajaan tergugat, Shamsul menyerahkan kepada pihak yang membuat perspektif tersebut.

"Bagi pihak kerajaan, tentunya kita ingin menamatkan perkara ini sebab nanti dianggap tidak berbuat apa-apa.

"Saya ingin menyatakan kepada mereka di luar sana, Malaysia ini ada undang-undang, peraturan dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan berkenaan dan akan menyiasat perkara tersebut.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan terdapat gerakan yang dinamakan Langkah Dubai untuk menjatuhkan Anwar dirancang dan didalangi pemimpin pembangkang demi menutup pelbagai kelemahan Kerajaan Perpaduan sekarang.

Perkara itu kemudiannya disahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Anti Lompat Parti yang digunakan kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.