Remaja lelaki maut dihempap perabot

Mangsa maut di lokasi kejadian akibat dihempap perabot ketika menjalankan kerja memindahkan barangan dari sebuah lori ke lori lain dalam kejadian di Jalan Labuk, Batu 17, Sandakan.
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat dihempap perabot ketika menjalankan kerja memindahkan barangan dari sebuah lori ke lori lain dalam kejadian di Jalan Labuk, Batu 17, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Seorang lelaki maut akibat dihempap perabot ketika sedang menjalankan kerja memindahkan barangan dari sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 17 dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Nawawi berusia 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 25 kilometer dari BBP Sandakan.

"Pada awalnya, kejadian kemalangan berlaku pada malam Sabtu di mana sebuah lori tiga tan terbabas dan terbalik di jalan raya namun pihak bomba tidak menerima panggilan mengenai perkara itu.

"Bagaimanapun, pagi tadi pihak bomba menerima panggilan bahawa terdapat mangsa dihempap oleh perabot di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya lagi, hasil maklumat awal mendapati, ketika kejadian mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memindahkan barang dari lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Ketika kejadian beberapa individu sedang melakukan kerja pemindahan barangan ke sebuah lori lain dan ketika itu salah seorang dihempap oleh perabot.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang tiada kaitan dalam kemalangan pada lori tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Severinus berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.56 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.