Penerbangan ihsan bawa pesara polis ke IJN

Kok Chin (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada Othman sebelum dia dibawa dalam penerbangan ihsan ke IJN pada Ahad.
Kok Chin (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada Othman sebelum dia dibawa dalam penerbangan ihsan ke IJN pada Ahad.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) melaksanakan penerbangan ihsan membawa pesara polis bagi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, Sub Inspektor (B) Othman Mohamed Said, 62, sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mengalami pembuluh darah jantung pecah dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Menurutnya, atas nasihat doktor pesakit berkenaan perlu mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

"Meskipun bekas anggota kita ini telah bersara sejak dua tahun lalu, namun kebajikannya terus diberi perhatian kerana dia pernah menjadi sebahagian keluarga besar PDRM malah telah berkhidmat sehingga bersara.

"Sebaik menerima maklumat berkaitan keadaan Othman daripada keluarganya serta pandangan daripada doktor, kita terus mendapatkan kerjasama PGU Bukit Aman untuk melaksanakan penerbangan ihsan pada pagi ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.

Penerbangan ihsan yang membawa Othman menggunakan helikopter Agusta AW139 diterbangkan oleh Superintenden Amirul Adli Ahmad bersama tiga kru.

Sementara itu, adik ipar Othman, Norisyam Desa menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pimpinan tertinggi PDRM yang prihatin dengan kebajikan bekas anggotanya.

Beliau berkata, abang iparnya mengalami sesak nafas selepas selesai menunaikan solat Maghrib di Masjid Cherok To'Kun pada Jumaat lalu sebelum dia dihantar pulang oleh jemaah lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas pemeriksaan awal dibuat oleh doktor mendapati kejadian yang berlaku bukan disebabkan masalah jantung sebaliknya pembuluh darah pecah dan perlu mendapatkan rawatan segera oleh pakar di IJN.

"Mewakili ahli keluarga, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas penerbangan ihsan ini dan terharu kerana walaupun abang kami telah bersara namun kebajikannya tetap dijaga," katanya.